DUA bulan selepas keluar daripada AF7, Hafiz kini melalui liku-liku hidup sebagai anak seni dengan penuh tabah.
KENANGAN pada detik 16 Mei lalu pastinya sukar untuk dilupakan dan masih jelas serta segar dalam ingatan jejaka comel bernama Mohd. Hafiz Mohd. Suip ini.
Menjuarai Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), cinta dan impiannya untuk bergelar anak seni tidaklah bernoktah begitu sahaja.
Memiliki perwatakan ceria dan mudah melemparkan senyuman, Mohd. Hafiz atau mudah disapa Hafiz mengakui bahawa dia kini amat teruja untuk meneruskan cita-cita bergelar artis ternama.
Bak menggapai awan di langit, namun, laluan seni Hafiz sepanjang dua bulan bertatih di pentas hiburan bukanlah semudah yang disangkanya.
Ini kerana, awan yang digapainya itu seolah menumpahkan hujan toksid dan bisa membuatkan Hafiz tersungkur andai gagal mengawal emosi diri.
Bagaimanapun, biar diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan antaranya dituduh penyombong, tidak mahu bertegur sapa dengan orang lain dan suka berpeleseran di kelab malam, Hafiz masih mampu berhadapan dengan segala kata-kata negatif tersebut.
Sambil menafikan dakwaan itu, Hafiz dalam wajah tenang berkata, dia memilih untuk tidak mengangkat kata-kata itu sebagai bebanan bagi diangkut dalam kehidupan hariannya.
Bagi Hafiz, cara mengawal permasalahan yang melanda adalah dengan cara bertawakal kepada Allah samping bersikap tenang.
Apatah lagi, Hafiz sering diingatkan sebaik memasuki bidang, dia perlu berhadapan dengan cabaran dunia seni yang cukup hebat.
"Sepanjang dua bulan ini juga, Hafiz telah mendengar macam-macam yang orang lain kata tentang Hafiz. Semuanya itu tidak benar, termasuk dakwaan berpeleseran di kelab malam.
"Hafiz bukanlah begitu. Tapi tidak mengapa, semua itu lumrah kehidupan,'' katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya berjudul Masih Jelas di ibu negara, baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis tersebut, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB), Zainir Aminullah, Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina dan kalangan komposer antaranya M. Nasir, Ajai, Aidit Alfian dan Taja.
Turut hadir, empat finalis AF7 iaitu Aril, Akim, Yazid serta Isma.
Menyambung bicara, ujar jejaka berusia 19 tahun ini, dengan kata-kata negatif yang menghujani dirinya, dia sesekali tidak akan menanam rasa menyesal dalam hati kerana berkecimpung dalam dunia hiburan.
Jelas Hafiz, dalam menghadapi cabaran dan dugaan, dirinya bernasib baik kerana keluarga terutama ibunya, Halizawati Mohd. Salleh, 44, sentiasa memberikan semangat dan mendoakan kesejahteraan.
"Emak selalu beri nasihat supaya saya kerja baik-baik dan gunakan tenaga yang dikurniakan Allah ini dengan sebaiknya serta jangan melakukan sesuatu yang tidak elok,'' katanya yang mengimpikan untuk bergelar pelakon serta pengacara.
Gembira dengan Masih Jelas
Sementara itu, Hafiz ketika diajak berbicara tentang album sulungnya berjudul Masih Jelas memberitahu, dia cukup gembira dengan kelahiran album terbabit.
Berkonsepkan pop balada, Masih Jelas kata Hafiz, merupakan percubaan pertamanya untuk terus bergerak dalam bidang nyanyian.
"Sudah tentu saya berpuas hati dengan hasil rakaman album ini. Ia juga menampilkan komposer-komposer hebat dan terkenal. Terima kasih kepada mereka.
"Masih Jelas juga turut memuatkan lagu-lagu rakan-rakan saya dalam akademi iaitu Aril, Akim, Yazid dan Isma,'' katanya yang berjaya menurunkan berat badan sebanyak enam kilogram baru-baru ini.
Masih Jelas memuatkan lima buah lagu baru nyanyian Hafiz iaitu Masih Jelas (Aidil Alfian, Ad Samad); Noktah Cinta (Ajai, Syeikh Qalam); Watak (Aidil Alfian, Ad Samad); Ku Akui (Ajai) dan Awan Nano (M. Nasir, Buddhi Hekayat).
Selain lagu-lagu berkenaan, turut dimuatkan adalah Toksid nyanyian Aril, Bengang (Akim), Ya Papa (Yazid) dan Bisikan...Godaan (Isma).
Menurut Hafiz, sepanjang rakaman, dia diberikan ruang dan peluang untuk memberikan pendapat mengenai lagu-lagu nyanyiannya itu.
"Hafiz banyak bertanya kepada komposer dan penulis lirik seperti abang Ajai (Ajai) bagaimana hendak menghayati lagu-lagunya,'' katanya yang teringin untuk menghasilkan lagu sendiri satu hari nanti.
Kaitan Ku Akui dengan Hafiz
Masih lagi berbicara soal Masih Jelas, Hafiz berkata, antara lagu-lagu yang terkandung dalam album berkenaan, lagu berjudul Ku Akui sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan dirinya.
"Ia seperti menyindir diri Hafiz sendiri terutama soal cinta. Abang Ajai yang cipta lagu ini ada bertanya Hafiz tentang cinta Hafiz sebelum ini.
"Namun, bagi Hafiz, buat masa ini, biarlah Hafiz tumpukan kepada kerja terlebih dahulu. Kalau ada pun (teman wanita), Hafiz akan bertanyakan kepada emak terlebih dahulu,'' jelas Hafiz sambil ketawa besar.
Strategi pemasaran AESB
Dalam pada itu, Zainir yang diajukan persoalan tentang proses pembikinan Masih Jelas yang dilihat seakan tergesa-gesa berkata, Masih Jelas perlu dipasarkan awal seiring dengan populariti Hafiz yang masih 'panas'.
"Ini adalah strategi AESB. Kalau dilihat pengalaman lalu, album dikeluarkan agak lewat dan hasilnya ia kurang mendapat sambutan,'' tegasnya.
Ketika ditanya mengapa Masih Jelas menyelitkan lagu-lagu empat lagi finalis AF7, ujar Zainir, ia sebagai penunjuk aras untuk membangunkan karier artis-artis lain.
"Selain untuk menaikkan nama mereka, kami gunakan Masih Jelas untuk melihat penerimaan peminat masing-masing.
"Selain Hafiz, empat daripada mereka ini iaitu Aril, Akim, Yazid dan Isma sudah mempunyai jenama tersendiri,'' tambahnya.
No comments:
Post a Comment