Petikan [ Mohd.Zulkifli Hussain ]
BANDARAYA KUCHING, ibu negeri Sarawak ialah antara bandaraya paling bersih di dunia dan pernah memenangi Healthy Cities 2004 oleh WHO. Di mana-mana bandar kecil pun di Sarawak yang pernah saya kunjungi seperti Miri, Bintulu, Sri Aman, Sibu, Serian, Sarikei dan lain-lain lagi, memang tidak dinafikan Sarawak adalah negeri yang paling bersih di Malaysia. Malahan, jika dibandingkan dengan KL dan lain-lain bandar di Malaysia, Kuching adalah jauh lebih bersih.
Penerbangan dari KLIA ke KIA (Kuching International Airport) mengambil masa 1 jam 40 min dengan pesawat Boeing (tetapi 1 jam 20 min dengan pesawat Airbus MAS). Dari KIA ke pusat bandar (lebih kurang 11 km) tambang teksi adalah RM17.50 (teksi di Kuching adalah antara yang paling mahal di Malaysia - RM4 bagi 1km pertama).
Jika anda berkunjung ke Kuching, banyak tempat menarik yang boleh dilawati. Kuching Waterfront adalah antara tarikan utama yang terdapat di Kuching. Selain keindahan Sungai Sarawak, kita boleh menikmati pemandangan bot-bot kecil (dan boleh dinaiki dengan tambang yang sangat murah) di situ serta melihat aliran air sungai yang bersih (walaupun tidaklah begitu jernih airnya). Kuching Waterfront juga adalah tempat tumpuan penduduk tempatan berkumpul untuk riadah bersama keluarga. Namun, anda perlu berhati-hati di sini terutamanya pada waktu malam kerana banyak penyeluk saku berkeliaran.
Bersetentangan dengan Kuching Waterfront itu, terdapat banyak deretan kedai yang menjual pelbagai jenis kraf yang saya pasti anda akan rambang mata untuk memilihnya. Daripada tikar Sarawak yang popular kepada hasil temikar yang beraneka bentuk seperti pasu, patung kucing dan sebagainya, semuanya ada ditawarkan dengan harga yang berpatutan. Begitu juga dengan hasil-hasil kraf lain seperti hasil ukiran yang berbentuk budaya aninisma penduduk tempatan seperti kaum Dayak dan Iban juga banyak dijual di sini. Hotel Hilton, Crowne Plaza dan Holiday Inn adalah pilihan yang paling tepat jika anda ingin menikmati suasana pemandangan yang sangat menarik di samping untuk membeli-belah.
No comments:
Post a Comment