Majlis terakhir yang berlangsung Ahad lalu di Le Marquee, Hotel Palace of the Golden Horses, menyaksikan sebuah lagi acara penuh gemerlapan. Dengan tema Mawi & Ekin: 1001 Malam, majlis yang disiarkan secara langsung oleh Astro Ria itu memukau 1,500 hadirin yang ada. "Kami tidak pernah pun mengidamkan majlis yang gah sebegini rupa. Semuanya dirancang oleh pihak lain untuk kami berdua. Pastinya, kami berasa bertuah apabila diberikan majlis sedemikian," kata Mawi pada sidang akhbar sebaik saja selesai majlis berkenaan. Ditemani Ekin di sebelah, dia berkata, dia juga tidak mengubah bentuk majlis terbabit sekiranya dia diberikan peluang untuk melakukannya semula kerana segala yang dirancang itu sudah cukup baik buatnya.
KEDUA mempelai bersanding di atas pelamin.
Mawi sendiri berasa cukup lega apabila kesemua majlis perkahwinannya yang bermula 20 Disember lalu sudah pun selesai. Tumpuannya kini hanyalah kepada percutian bulan madu bermula 16 Januari. Selama enam hari, Mawi dan Ekin terbang jauh ke Korea untuk menikmati suasana percutian pertama setelah bergelar suami isteri. "Tidak, tiada rakaman yang dilakukan sewaktu kami berbulan madu di sana," katanya sambil ketawa apabila ditanya apakah percutian itu juga bakal dijadikan program televisyen. Tambah Ekin, empat kali siaran langsung dilakukan sebelum ini sudah cukup memadai buat mereka berdua. Bercerita mengenai babak menunggang kuda yang dilakukannya ketika pengantin mula-mula tiba di pekarangan khemah tempat majlis berlangsung, Mawi mendedahkan betapa dia berasa kaget apabila latihan hanya dilakukan selama dua hari sebelum ‘persembahan’ bermula.
MAWI dan isteri tercinta memotong kek perkahwinan.
"Jurulatih sendiri berkata, tidak pernah berlaku apabila seseorang penunggang hanya berlatih dua hari sebelum melakukan persembahan. Kiranya ia satu rekod baru jugalah. Saya sendiri kecut perut sewaktu awal-awal tunggangan. Manalah tahu jika kuda pula buat hal pada hari sebenar. Begitu pun kami semua sudah bersedia sekiranya kejadian seperti itu berlaku," ujarnya. Ketika ditanya mengenai majlis yang paling digemari mereka, Ekin berkata, kesemuanya memang menyeronokkan mereka dan mempunyai makna tersendiri. Justeru, tidak timbul majlis mana paling bermakna di hati mereka kerana paling penting bagi Ekin, semuanya berjalan dengan lancar dan sempurna. Diusik dengan pertanyaan apakah mereka ingin mendapatkan anak secepat mungkin setelah bergelar suami isteri, Ekin memberitahu, walaupun tidak merancang, namun dia memang berharap dapat menimang cahaya mata seberapa segera. Dia sendiri sudah pun bersedia untuk bergelar seorang ibu pula. "Jika Tuhan menganugerahkan sepasang anak kembar, pastinya kami lebih seronok," ujar Ekin yang berkebetulan mempunyai saudara kembar, Aen. Tiba-tiba Mawi di sebelahnya mula menghitung, mereka akan mendapat 12 anak dalam masa yang singkat sekiranya sebanyak enam kali Ekin bersalin anak kembar dua. Diminta mengulas kedatangan bekas tunangnya, Ina Naim bersama suami, Mohd Shuhaimi Saad serta bayi comel mereka, Ehmed Hadie Elfardie, 8 bulan, ke majlis berkenaan, Mawi berkata, sememangnya mereka sudah lama merancang untuk mengundang kedua-duanya ke majlis perkahwinan mereka di Kuala Lumpur. "Kami memang merancang untuk menjemput mereka di Kuala Lumpur kerana mereka juga adalah artis. Tiba-tiba keluar pula cerita mereka tidak diundang sewaktu majlis diadakan di Johor. Ina sendiri sempat bertemu saya tadi. Dia dan suami sempat mengucapkan selamat pengantin baru buat kami berdua," kata Mawi. Lensa kamera kelihatan tidak berhenti berkelip tatkala Ina dan suami serta anak sulung mereka menghampiri meja makan utama. Di situ, Ina sempat bertemu, bersalam dan mencium pipi ibu Mawi, Ramlah Sarlan. Mengenai aktiviti seninya selepas tamat bercuti pada 31 Januari, Mawi memberitahu, dia akan terbabit dalam filem terbaru terbitan KRU, Magika. Manakala perbincangan mengenai usaha menyelamatkan kembali filem Aduh Saliha juga sudah pun bermula. Sekali lagi diusik dengan soalan mengapa tidak dia berpasangan saja dengan isterinya dalam filem berkenaan, Mawi tidak memberikan kata yang pasti walaupun dia mengaku tidak akan menghalang kegiatan seni Ekin setelah sah bergelar isteri. Begitupun, pada satu lagi pertanyaan, kedua-duanya berkata mereka pastinya tidak akan menyertai program Sehati Berdansa bagi menghormati imej bertudung wanita itu.
INFO: Perkahwinan Mawi dan Ekin
MAJLIS perkahwinan bertemakan Timur Tengah itu dirancang CD Advertising, manakala hiasan pelamin dan dekorasi disempurnakan oleh Yamin. Jurusolek Tona diberikan tanggungjawab memperindahkan wajah Mawi, manakala Ekin pula disolek Velarie.
PADA Ahad lalu, Mawi dan Ekin menggayakan busana pengantin rekaan Rizalman, Bon Zainal dan Yamin, dengan fabrik disediakan oleh Jakel.
KEK pengantin berbentuk bantal Arab disediakan Blooming Cake, manakala kain rentang oleh Rimbunan Niaga, bot dinaiki mempelai disediakan Mines Cruise manakala pengiring pula terdiri daripada pelajar Universiti Putra Malaysia. Rakaman foto majlis perkahwinan berkenaan pula disediakan Mazlan Photo.
PAKEJ percutian bulan madu Mawi dan Ekin disediakan oleh Pertubuhan Pelancongan Korea.
JIKA Jimmy Shanley dan Kumpulan Cham (Raja Lawak) mengacarakan acara permaidani merah, Farah dan Reza pula mengendalikan program siaran langsung, manakala Dang Suria dan Aktar Sahari mengacarakan majlis perkahwinan. Aznil Nawawi juga turut muncul mengacarakan acara merenjis.
ACARA menepung tawar disempurnakan oleh ibu pengantin lelaki, Ramlah Sarlan; Ketua Kampung Felda Taib Andak, Haji Hanafiah; bapa dan ibu pengantin perempuan, Rahmat Mohamed dan Fatimah Saad; Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tunku Annuar Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah; Toh Puan Bendahara Kedah, Noorsuzana Abdullah; Pengerusi Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; isterinya, Toh Puan Mazni Mohd Nor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; dan isteri, Datin Seri Sharifah Aziah Syed Zainal Abidin.
ARTIS yang muncul menghiburkan mempelai serta tetamu malam itu terdiri daripada Anita Sarawak, Yasin, Idayu, Akma, Amylea, Marsha, Elliza, Ekin, Heliza, Riz, Mila, Zahid, Feliz dan Rabbani.
No comments:
Post a Comment