I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, April 05, 2010

ZEE AVI SANGAT SIBUK



petikan : Harian Metro /Oleh Norhadiani Baharomyanie@hmetro.com.my2010/04/05

KEPULANGAN Izyan Alirahman, 23, atau nama pentasnya, Zee Avi ke Malaysia bagi menjayakan konsert Zee Avi Live in Kuala Lumpur di Life Centre pada 20 Mac lalu sememangnya cukup dinanti-nantikan ramai peminat termasuk pihak media.

Masakan tidak, siapa yang tidak teruja mengenali gadis kecil molek itu dengan lebih dekat, sekali gus mendengar sendiri kehebatan suaranya yang berjaya menakluk pasaran Amerika Syarikat tanpa perlu mencipta nama di negara sendiri terlebih dulu.
Malah, siapa yang tidak bangga akhirnya dapat juga rakyat Malaysia melihat anak seni tempatan mencipta nama dan menembusi pasaran antarabangsa.
Pun begitu, dalam berbunga rasa bangga terhadap pencapaian gadis kelahiran Miri, Sarawak ini khabarnya Zee Avi mengguris perasaan pelbagai pihak terutama pihak media apabila didakwa menetapkan syarat enggan ditemubual wartawan dari akhbar mahupun majalah berbahasa Melayu.

Desas-desus yang lebih menghampakan (tidak pasti sejauh mana kesahihan gosip ini) Zee Avi lebih senang memaklumkan tempat kelahiran dan asalnya adalah dari Borneo setiap kali ditemubual media antarabangsa.

Justeru, sempena kepulangannya ke Malaysia, baru-baru ini penyanyi dan pencipta lagu popular dengan lagu Kantoi dan Bitter Heart itu diminta menjelaskan kebenaran.
“Saya tidak pernah lupa asal-usul dan kalau ada pihak yang menuduh sebegitu hanya kerana pendirian saya enggan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan, saya kira ia tidak wajar dan saya harus membetulkannya di sini.

“Saya selalu ingat pesan orang tua saya supaya sentiasa berpijak di bumi nyata dan ingat asal-usul kita.

“Saya orang Sarawak dan memang saya akui tidak begitu fasih berbahasa Melayu, maksudnya bahasa Malaysia rasmi. Kalau setakat bertutur dalam loghat Sarawak atau bahasa pasar itu bolehlah.

“Justeru, saya melihat pertuturan bahasa Melayu dalam loghat Sarawak tidak sesuai untuk urusan kerja atau rasmi.

“Jadi lebih eloklah saya bertutur dalam Bahasa Inggeris saja untuk mengelak berlaku salah faham atau kepincangan maksud.

“Saya pasti wartawan juga tidak suka sekiranya berdepan seseorang artis yang tidak lancar memberikan jawapan.

“Saya memang akui penguasaan bahasa Malaysia saya sangat lemah. Apatah lagi, semasa di bangku sekolah saya belajar di sekolah aliran Cina. Di rumah pula, keluarga saya hanya berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

Zee Avi turut melihat penguasaan Bahasa Inggeris satu kelebihan apatah lagi bahasa berkenaan diiktiraf sebagai bahasa utama dunia.
“Secara tidak langsung, perjuangan muzik saya menerusi medium Bahasa Inggeris ini membolehkan saya mendekati kelompok pendengar muzik dengan lebih luas dan tidak terbatas kepada pendengar tempatan saja,” jelasnya.

Menyingkap sambutan peminat terhadap persembahan di Life Centre, baru-baru ini, tanpa sebarang promosi besar-besaran iaitu sekadar dengan menyebar maklumat menerusi laman facebook (fb) dan Twiitter saja, peruntukan 3,000 tiket konsert habis dijual dalam masa dua setengah hari saja! Sambutan yang diberikan peminat mengejutkan syarikat AirAsia RedTix yang bertindak sebagai penganjur konsert.

Menyingkap perjalanan seni gadis berwajah eksotik ini, meskipun semakin dikenali masyarakat dunia, populariti yang menjulang tidak sedikitpun mengubah kehidupannya sebagai remaja timur.

“Saya tidak pernah berubah. Dari segi kerja, memang saya semakin tersangat sibuk memenuhi undangan nyanyian, tetapi sebagai seorang individu, saya masih lagi Zee Avi yang dulu.
“Terus terang saya masih menyesuaikan diri. Orang tua saya selalu berpesan agar kita sentiasa merendah diri dan jangan lupa tempat asal.

“Saya amat bersyukur tapi terkadang rasa seperti ingin bebas seperti remaja lain. Saya akui melalui satu perjalanan hidup saya yang amat mengagumkan, apatah lagi memperoleh peluang bekerjasama dengan ramai orang yang berbakat dalam bidang muzik di luar negara,” katanya.
Dari segi imej, gadis berambut kembang besar ini suka dengan fesyen yang ranggi, tetapi stailo. Gayanya yang unik itu membuatkan Zee Avi lebih mudah diterima di kalangan peminat.
Ini tidak menghairankan kerana Zee pernah mengikuti pengajian rekaan fesyen di America InterContinental University di London.

Bakat Zee mula dikenali masyarakat antarabangsa pada September 2007 apabila Zee Avi meletakkan video lagunya sendiri dalam laman YouTube atas permintaan seorang rakan karib.
Selepas itu videonya mendapat respons yang positif dan ramai pula meminta dia memuat naik lebih banyak lagi video nyanyiannya ke Internet.

Dari situlah seorang produser Patrick Keeler mengintai bakatnya lalu menghantar muzik videonya kepada Ian Montone, pengurus The White Stripes, The Shins dan The Raconteurs.
Tidak lama sesudah itu, Montone pula memberikan muzik videonya kepada Emmett Malloy yang menyuntingnya untuk Brushfire Records iaitu sebuah syarikat rakaman yang dimiliki bersama oleh Jack Johnson.

Antara lagu awalnya adalah No Christmas For Me yang dipaparkan dalam album This Warm December: A Brushfire Holiday.
Single Zee Avi, Bitter Heart diterbitkan di Amerika dan album penuhnya yang menggunakan nama sendiri, muncul pada Mei 2009 yang diterbitkan Brushfire Records dan Monotone Records.
Zee seterusnya mula menjayakan konsert jelajah Amerika dari Jun hingga Ogos 2009 bersama Pete Yorn. Konsert itu berakhir dengan jayanya di Music Box, Henry Fonda Theater di Hollywood, pada 27 Ogos 2009.

Profil
NAMA: Izyan Alirahman
NAMA PENTAS: Zee Avi dan sebelum ini pernah dikenali sebagai KokoKaina
UMUR: 24 tahun
TEMPAT LAHIR: Miri, Sarawak
WARGANEGARA: Malaysia
PENDIDIKAN: Graduan dalam bidang rekaan fesyen di American InterContinental University, London
LAGU HIT: Bitter Heart dan KantoiGENRE MUZIK: Akustik, World music, folk dan pop
INSTRUMEN: Vkal, gitar akustik dan Ukulele
KERJAYA: Pnyanyi, pencipta lagu dan pemuzik

No comments:

Post a Comment