I made this widget at MyFlashFetish.com.

Showing posts with label Zee Avi. Show all posts
Showing posts with label Zee Avi. Show all posts

Monday, April 05, 2010

ZEE AVI SANGAT SIBUK



petikan : Harian Metro /Oleh Norhadiani Baharomyanie@hmetro.com.my2010/04/05

KEPULANGAN Izyan Alirahman, 23, atau nama pentasnya, Zee Avi ke Malaysia bagi menjayakan konsert Zee Avi Live in Kuala Lumpur di Life Centre pada 20 Mac lalu sememangnya cukup dinanti-nantikan ramai peminat termasuk pihak media.

Masakan tidak, siapa yang tidak teruja mengenali gadis kecil molek itu dengan lebih dekat, sekali gus mendengar sendiri kehebatan suaranya yang berjaya menakluk pasaran Amerika Syarikat tanpa perlu mencipta nama di negara sendiri terlebih dulu.
Malah, siapa yang tidak bangga akhirnya dapat juga rakyat Malaysia melihat anak seni tempatan mencipta nama dan menembusi pasaran antarabangsa.
Pun begitu, dalam berbunga rasa bangga terhadap pencapaian gadis kelahiran Miri, Sarawak ini khabarnya Zee Avi mengguris perasaan pelbagai pihak terutama pihak media apabila didakwa menetapkan syarat enggan ditemubual wartawan dari akhbar mahupun majalah berbahasa Melayu.

Desas-desus yang lebih menghampakan (tidak pasti sejauh mana kesahihan gosip ini) Zee Avi lebih senang memaklumkan tempat kelahiran dan asalnya adalah dari Borneo setiap kali ditemubual media antarabangsa.

Justeru, sempena kepulangannya ke Malaysia, baru-baru ini penyanyi dan pencipta lagu popular dengan lagu Kantoi dan Bitter Heart itu diminta menjelaskan kebenaran.
“Saya tidak pernah lupa asal-usul dan kalau ada pihak yang menuduh sebegitu hanya kerana pendirian saya enggan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan, saya kira ia tidak wajar dan saya harus membetulkannya di sini.

“Saya selalu ingat pesan orang tua saya supaya sentiasa berpijak di bumi nyata dan ingat asal-usul kita.

“Saya orang Sarawak dan memang saya akui tidak begitu fasih berbahasa Melayu, maksudnya bahasa Malaysia rasmi. Kalau setakat bertutur dalam loghat Sarawak atau bahasa pasar itu bolehlah.

“Justeru, saya melihat pertuturan bahasa Melayu dalam loghat Sarawak tidak sesuai untuk urusan kerja atau rasmi.

“Jadi lebih eloklah saya bertutur dalam Bahasa Inggeris saja untuk mengelak berlaku salah faham atau kepincangan maksud.

“Saya pasti wartawan juga tidak suka sekiranya berdepan seseorang artis yang tidak lancar memberikan jawapan.

“Saya memang akui penguasaan bahasa Malaysia saya sangat lemah. Apatah lagi, semasa di bangku sekolah saya belajar di sekolah aliran Cina. Di rumah pula, keluarga saya hanya berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

Zee Avi turut melihat penguasaan Bahasa Inggeris satu kelebihan apatah lagi bahasa berkenaan diiktiraf sebagai bahasa utama dunia.
“Secara tidak langsung, perjuangan muzik saya menerusi medium Bahasa Inggeris ini membolehkan saya mendekati kelompok pendengar muzik dengan lebih luas dan tidak terbatas kepada pendengar tempatan saja,” jelasnya.

Menyingkap sambutan peminat terhadap persembahan di Life Centre, baru-baru ini, tanpa sebarang promosi besar-besaran iaitu sekadar dengan menyebar maklumat menerusi laman facebook (fb) dan Twiitter saja, peruntukan 3,000 tiket konsert habis dijual dalam masa dua setengah hari saja! Sambutan yang diberikan peminat mengejutkan syarikat AirAsia RedTix yang bertindak sebagai penganjur konsert.

Menyingkap perjalanan seni gadis berwajah eksotik ini, meskipun semakin dikenali masyarakat dunia, populariti yang menjulang tidak sedikitpun mengubah kehidupannya sebagai remaja timur.

“Saya tidak pernah berubah. Dari segi kerja, memang saya semakin tersangat sibuk memenuhi undangan nyanyian, tetapi sebagai seorang individu, saya masih lagi Zee Avi yang dulu.
“Terus terang saya masih menyesuaikan diri. Orang tua saya selalu berpesan agar kita sentiasa merendah diri dan jangan lupa tempat asal.

“Saya amat bersyukur tapi terkadang rasa seperti ingin bebas seperti remaja lain. Saya akui melalui satu perjalanan hidup saya yang amat mengagumkan, apatah lagi memperoleh peluang bekerjasama dengan ramai orang yang berbakat dalam bidang muzik di luar negara,” katanya.
Dari segi imej, gadis berambut kembang besar ini suka dengan fesyen yang ranggi, tetapi stailo. Gayanya yang unik itu membuatkan Zee Avi lebih mudah diterima di kalangan peminat.
Ini tidak menghairankan kerana Zee pernah mengikuti pengajian rekaan fesyen di America InterContinental University di London.

Bakat Zee mula dikenali masyarakat antarabangsa pada September 2007 apabila Zee Avi meletakkan video lagunya sendiri dalam laman YouTube atas permintaan seorang rakan karib.
Selepas itu videonya mendapat respons yang positif dan ramai pula meminta dia memuat naik lebih banyak lagi video nyanyiannya ke Internet.

Dari situlah seorang produser Patrick Keeler mengintai bakatnya lalu menghantar muzik videonya kepada Ian Montone, pengurus The White Stripes, The Shins dan The Raconteurs.
Tidak lama sesudah itu, Montone pula memberikan muzik videonya kepada Emmett Malloy yang menyuntingnya untuk Brushfire Records iaitu sebuah syarikat rakaman yang dimiliki bersama oleh Jack Johnson.

Antara lagu awalnya adalah No Christmas For Me yang dipaparkan dalam album This Warm December: A Brushfire Holiday.
Single Zee Avi, Bitter Heart diterbitkan di Amerika dan album penuhnya yang menggunakan nama sendiri, muncul pada Mei 2009 yang diterbitkan Brushfire Records dan Monotone Records.
Zee seterusnya mula menjayakan konsert jelajah Amerika dari Jun hingga Ogos 2009 bersama Pete Yorn. Konsert itu berakhir dengan jayanya di Music Box, Henry Fonda Theater di Hollywood, pada 27 Ogos 2009.

Profil
NAMA: Izyan Alirahman
NAMA PENTAS: Zee Avi dan sebelum ini pernah dikenali sebagai KokoKaina
UMUR: 24 tahun
TEMPAT LAHIR: Miri, Sarawak
WARGANEGARA: Malaysia
PENDIDIKAN: Graduan dalam bidang rekaan fesyen di American InterContinental University, London
LAGU HIT: Bitter Heart dan KantoiGENRE MUZIK: Akustik, World music, folk dan pop
INSTRUMEN: Vkal, gitar akustik dan Ukulele
KERJAYA: Pnyanyi, pencipta lagu dan pemuzik

Saturday, March 27, 2010

ZEE AVI SUDAH BERTARAF ANTARABANGSA

Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH dan AMIN FARIJ HASAN

GAYA persembahan Zee Avi sewaktu beraksi pada konsert sulungnya di KL Live Centre, Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu. TERIMA kasih kepada dunia teknologi moden hari ini yang telah menjadikan anak muda ini popular dalam sekelip mata.

Tidak dinafikan lagi, YouTube khususnya merupakan akses utama hari ini dalam usaha untuk mengesan bakat baru yang tiada siapa sangka memiliki keistimewaan tersendiri. Itulah yang terjadi pada diri Zee Avi atau nama sebenarnya, Izyan Alirahman yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas seni antarabangsa.

Biarpun sudah menempa nama di peringkat internasional yang menjadi idaman banyak anak seni di negara ini, tetapi bagi Zee Avi, populariti tidak banyak mengubah hidupnya. Dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, petang Isnin lalu, Zee Avi tidak merasakan dirinya sudah berubah biarpun kini namanya dikenali oleh masyarakat dunia.

"Dari segi kerja, memang saya semakin sibuk memenuhi undangan nyanyian tetapi sebagai seorang individu, saya masih lagi orang yang sama. "Saya bertuah kerana dapat bekerja dengan ramai orang yang berbakat dan faham dengan apa yang saya mahukan menerusi muzik saya.

"Memang itu matlamat saya dari awal lagi untuk berkongsi muzik saya dengan semua orang," kata gadis berusia 23 tahun ini yang menggalas tanggungjawab bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi juga komposer serta penulis lirik. Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Pengarah Jualan, Universal Music Malaysia, Michael Chi.

Dalam majlis itu juga, Zee Avi telah menerima anugerah Emas di atas kejayaan album sulungnya yang mencatatkan penjualan sebanyak 7,500 salinan di negara ini. Selain Malaysia, albumnya turut mencatatkan anugerah Emas di Singapura serta Taiwan dan kini pihak Universal Music sedang cuba untuk mendapatkan slot persembahan buat Zee Avi sempena Anugerah Industri Muzik Ke-17 pada 2 Mei ini.

Kunjungan Zee Avi ke Malaysia adalah bersempena dengan konsert pertamanya yang baru berlangsung di KL Live Centre, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu yang telah mengundang 3,000 pengunjung. Apa yang membanggakan, kesemua 3,000 keping tiket untuk menyaksikan konsert berkenaan semuanya habis dijual dalam tempoh dua hari sahaja.

Kisah karier seni Zee Avi memang menarik untuk diperkatakan dan sememangnya tuah merupakan salah satu aspek dalam penentu kejayaan seseorang artis itu. Siapa sangka, pada September 2007, hanya dengan sebuah rakaman untuk seorang sahabat yang kebetulan tidak dapat menyaksikan persembahannya telah mengubah hidup Zee Avi secara total.

Memang tuah berpihak kepada anak kelahiran Miri, Sarawak ini apabila dia menerima respons positif daripada pengunjung laman web popular itu. Rentetan daripada kejayaan itu telah mendorong Zee Avi untuk terus memuat naik video nyanyiannya dan daripada situ, bakatnya mula dikesan oleh pemain drum kumpulan The Raconteurs, Patrick Keeler bersama-sama pengurusnya, Ian Montone.

Melihat bakat istimewa yang ada dalam diri Zee Avi, Montone kemudiannya mempromosikan video muzik Zee Avi kepada Emmett Malloy yang terus mengambilnya untuk menjadi artis rakaman di bawah syarikat Brushfire Records.

Jika ada yang tidak tahu, Brushfire Records merupakan syarikat rakaman milik seorang penyanyi dan komposer terkenal Amerika Syarikat (AS), Jack Johnson. Sebelum merakamkan album perdananya, Zee Avi terlebih dahulu mencuri perhatian ramai menerusi sebuah lagu No Christmas For Me yang dimuatkan dalam album This Warm December: A Brushfire Holiday.

Tarikh 19 Mei 2009 akan terus menjadi sejarah tersendiri buat Zee Avi apabila album pertamanya yang juga mengangkat nama komersialnya itu mula dipasarkan. seterusnya

Thursday, March 11, 2010

TIKET KONSERT ZEE AVI HABIS DIJUAL



Rafizah memberi ucapan semasa sidang media konsert Zee Avi yang bakal diadakan di KL Live @Live Center, 20 Mac ini.
BIARPUN namanya tidak terkenal di Malaysia, namun gadis yang berasal dari negeri Bumi Kenyalang ini telah berjaya membuka mata negara luar dengan bakat nyanyiannya.
Dilahirkan dengan nama Izyan Alirahman, 24, atau lebih dikenali Zee Avi kini sudah boleh berbangga kerana berjaya menakluk beberapa negara Eropah selepas memperkenalkan muzik soul dan Jazz yang dibawanya.
Terbaru, Zee Avi kini sedang sibuk dengan aktiviti jelajah Australia selepas mengadakan persembahannya di California dengan memperkenalkan lagu-lagu nyanyiannya.
Tiada siapa menjangka, tuahnya selepas dilamar syarikat rakaman dari Amerika Syarikat beberapa tahun dahulu membuatkannya kini sebaris dengan artis Hollywood lain.
Selepas berjaya membina kerjayanya di sana, Zee Avi buat pertama kalinya akan mengadakan konsert di negara kelahirannya ini.
Konsert yang bakal diadakan di Kuala Lumpur Live @ Life Centre pada 20 Mac ini akan bermula pada pukul 8 malam yang bakal dihadiri 3000 peminatnya.
Menurut bahagian perolehan (Ancillary Income) Syarikat Penerbangan Murah Air Asia, Rafizah Amran, memberitahu pihaknya memilih Zee Avi kerana melihat bakat yang dimiliki olehnya disamping ingin mengetengahkan penyanyi berbakat yang bersesuaian dengan jenama syarikat penerbangan itu.
"Syarikat Air Asia adalah sebuah syarikat penerbangan negara Asia, sebagai menyahut cabaran itu, pihak kami telah memilih Zee Avi kerana dia merupakan rakyat kita dan datangnya daripada negara Asia.
Zee Avi bakal mengadakan konsert sulungnya di Kuala Lumpur.
"Kami yakin dengan bakat yang dimilikinya, tapi sayang orang kita tidak mengenali dia tapi hanya tahu lagunya yang berjudul Kantoi, " katanya selepas sidang media Konsert Zee Avi Live in Kuala Lumpur di La Bodega Lounge, Bangsar.
Selain itu, Rafizah turut berkata, tiket konsert Zee Avi yang telah diuruskan oleh Syarikat Air ASia Red Tix bagaimanapun telah habis dijual selepas dua hari diiklankan.
"Kami memang tidak sangka dapat menjualkan tiket konsert tersebut dalam tempoh sesingkat itu, hanya dua hari sahaja.
"Pihak kami hanya iklankan melalui laman sosial twitter dan facebook, sehari sahaja berjaya dijual sebanyak 1000 lebih.
"Lingkungan umur pembeli tiket konsert itu pula merangkumi umur 18-35 tahun. Lagipun tiket yang dijual tidak terlalu mahal yang hanya bermula daripada RM55, RM105 dan 205 sahaja," katanya.
Ketika ditanya mengenai lagu dan persembahan Zee Avi pada malam konsert tersebut, Rafizah memberitahu konsert itu tidak akan dipenuhi dengan penari iringan tetapi akan mengekalkan cara dan trademarknya yang tersendiri.
"Kita akan perkenalkan konsert Zee Avi dengan caranya tersediri. Zee Avi juga turut merahsiakan lagu-lagu yang bakal dinyanyikan pada malam tersebut kerana ingin memberikan kejutan buat peminat di tanah airnya.
"Konsert pada malam itu juga akan berlangsung selama 50 minit dan keesokkan harinya, Zee Avi akan terus terbang ke Australia untuk menyambung konsertnya di sana pula," kata Rafizah.