I made this widget at MyFlashFetish.com.

Showing posts with label Mawi. Show all posts
Showing posts with label Mawi. Show all posts

Wednesday, April 29, 2009

Pelancaran Album Terbaru Mawi - ALLAH HABEEBI



Semalam, jam 2.30 petang, bertempat di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur telah berlangsung sidang media pelancaran album terbaru Mawi - Allah Habeebi. Mawi yang lengkap berjubah putih tanpa berkopiah hadir bersama Ekin. Turut hadir ialah para penerbit dan komposer album.
Terdapat lapan buah lagu baru dan lama yang diolah semula sebagai hadiah halwa telinga untuk para pencinta muzik berkonsepkan ketuhanan dan kemanusiaan ini. Album terbitan Maestro Records ini boleh didapati di pasaran dengan harga RM 25.90 untuk cakera padat.

Petikan : sensasi selebriti.com


komen jefbuj:
Baru-baru ni laporan dalam Gala TV. d: Walaupun alam pasaran lembab sekarang ini, Album Mawi still boleh terjual lebih 10ribu unit dan 50 ribu dimuaturun di internet! Tahniah Mawi!

Monday, February 23, 2009

Mawi - Mahu buka restoran di Korea



BERGURAU senda, saling merenung mata antara satu sama lain dan segala pergerakan badan yang menandakan pasangan itu cukup intim, kelihatan secara semula jadi tanpa dibuat-buat.
Kehadiran pasangan popular Mawi, 28, dan Ekin, 30, pada sesi fotografi di Studio Utusan, Selasa lalu, begitu gamat dengan hilaian tawa mereka.
Bukan main lagi Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani bergaya romantis di samping isterinya yang jelita. Tiada lagi kekok, malah Mawi selamba sahaja mengusik manja si Ekin.
Setelah berada di Korea Selatan selama enam hari bermula 17 hingga 22 Januari lalu, pasangan pengantin baru, Mawi dan Ekin rupa-rupanya membawa pulang cerita baru untuk dikongsi dengan para peminat.
Khabarnya ketika berada di sana, Ekin merasa mual dan loya tekak. Kenapa agaknya? Apakah itu tanda-tanda buah cinta pertama mereka sudah terhasil?
Sebenarnya pemilik nama sebenar Nora'asikin Rahmat merasa mual apabila penduduk di sana menjadikan hidangan khinzir sebagai makanan harian mereka.
"Saya rasa loya tekak apabila melihat penduduk di sana makan daging khinzir pada waktu pagi, petang dan malam.
"Disebabkan susah hendak mencari makanan yang halal, kami terpaksa meredah ke sana ke mari untuk mencari kedai makanan yang halal.
"Sudahlah sejuk dan terpaksa memakai baju sebanyak tiga lapis, maka sudah tentulah perut akan terasa lapar setiap waktu.
"Saya turut mengalami masalah selesema semasa berada di sana. Namun, saya tetap gembira kerana berpeluang bercuti dan berbulan madu di Korea," akui Ekin.
Mengakui kenyataan Ekin itu, lantas membuatkan Mawi timbul dengan idea untuk membuka sebuah restoran di sana.
Beritahu Mawi, dia dan Ekin menghadapi kesukaran untuk mengisi perut yang lapar, apatah lagi cuaca sejuk sedang melatari negara romantis itu.
"Pernah jugalah saya terfikir untuk mengusahakan restoran masakan Melayu di sana, disebabkan saya sendiri berdepan dengan pengalaman sukar untuk mencari makanan yang halal.
"Saya juga ada menyuarakan idea ini kepada salah seorang wakil Tourism Malaysia.
"Saya agak terkejut jugalah kerana diberitahu oleh Tourism Malaysia bahawa tahun lepas sahaja, seramai 80,000 rakyat Malaysia bercuti ke Korea.
"Mungkin kedatangan rakyat kita ke negara itu akan menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa," jelasnya. cerita selanjutnya....

Thursday, February 05, 2009

Romantika Mawi-Ekin



Oleh FAIZAL SAHARUNImfaizal@kosmo.com.my

SIKAP skeptikal sesetengah pihak yang melabelkan golongan artis yang telah mendirikan rumah tangga akan hilang populariti seharusnta dibuang ke tepi.
Buktinya, kemunculan Mawi dan isterinya Ekin pada karnival amal mengumpul dana untuk rakyat Palestin yang diadakan di Amcorp Mall, Petaling Jaya, Sabtu lalu, terus mendapat perhatian peminat.
Aura anak seni yang popular dengan lagu Aduh Saleha itu dilihat terus terpancar tanpa ada pudarnya walaupun Mawi sudah menjadi suami orang pada 20 Disember tahun lalu.
Mawi dan isteri tidak menang tangan melayan peminat yang mengerumuni gerai aiskrim bagi mengutip dana buat rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang menderita akibat sikap tidak berperikemanusiaan Israel.
Bukan itu sahaja, peminat turut berebut-rebut untuk bergambar dengan pasangan merpati dua sejoli itu walaupun dikenakan bayaran sebanyak RM10 bagi disalurkan ke tabung kebajikan Palestin.
Mawi yang muncul buat pertama kalinya di khalayak ramai setelah bercuti panjang berbulan madu mengakui terharu dengan sambutan yang ditunjukkan peminat.
"Memang berdebar jugalah pada mulanya lebih-lebih lagi ini merupakan pertama kali saya muncul sebagai seorang suami serta ditemani isteri.
"Sebelum ini memang ada yang berkata biasanya selepas artis berkahwin mereka akan kehilangan aura dan peminat pula mulai hilang sedikit demi sedikit.
"Dalam soal ini, ternyata ia tidak berlaku. Saya cukup bersyukur dengan peminat yang masih menyokong kerjaya seni saya," bicaranya sambil memanjatkan sepenuh kesyukuran dengan rezeki yang berpihak kepada dirinya. berita selanjutnya ....

Tuesday, January 13, 2009

Bagaikan anak raja


Kemuncak majlis perkahwinan Mawi, Ekin berakhir dengan majlis resepsi yang bertemakan kisah 1001 malam di Palace of the Golden Horses, kelmarin JIKA diimbas kembali, betapa majlis perkahwinan penyanyi tersohor, Mawi, bersama Ekin sememangnya cukup gah. Daripada majlis pernikahan di Masjid Sultan Abu Bakar Johor Bahru, majlis persandingan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru, majlis resepsi di kampung kelahiran Mawi, Felda Taib Andak dan akhir sekali majlis persandingan gilang-gemilang bertemakan kisah 1001 malam di Seri Kembangan, semuanya penuh gilang-gemilang. Alangkah beruntungnya insan yang bernama Mawi apabila begitu ramai pihak tampil untuk menjayakan majlis perkahwinannya, sesuai kedudukan selaku artis paling popular negara. Dia sendiri mengaku tuah memang menyebelahinya apabila pernikahan bersama buah hati, Ekin, mendapat kerjasama hebat pelbagai pihak.


Majlis terakhir yang berlangsung Ahad lalu di Le Marquee, Hotel Palace of the Golden Horses, menyaksikan sebuah lagi acara penuh gemerlapan. Dengan tema Mawi & Ekin: 1001 Malam, majlis yang disiarkan secara langsung oleh Astro Ria itu memukau 1,500 hadirin yang ada. "Kami tidak pernah pun mengidamkan majlis yang gah sebegini rupa. Semuanya dirancang oleh pihak lain untuk kami berdua. Pastinya, kami berasa bertuah apabila diberikan majlis sedemikian," kata Mawi pada sidang akhbar sebaik saja selesai majlis berkenaan. Ditemani Ekin di sebelah, dia berkata, dia juga tidak mengubah bentuk majlis terbabit sekiranya dia diberikan peluang untuk melakukannya semula kerana segala yang dirancang itu sudah cukup baik buatnya.


KEDUA mempelai bersanding di atas pelamin.


Mawi sendiri berasa cukup lega apabila kesemua majlis perkahwinannya yang bermula 20 Disember lalu sudah pun selesai. Tumpuannya kini hanyalah kepada percutian bulan madu bermula 16 Januari. Selama enam hari, Mawi dan Ekin terbang jauh ke Korea untuk menikmati suasana percutian pertama setelah bergelar suami isteri. "Tidak, tiada rakaman yang dilakukan sewaktu kami berbulan madu di sana," katanya sambil ketawa apabila ditanya apakah percutian itu juga bakal dijadikan program televisyen. Tambah Ekin, empat kali siaran langsung dilakukan sebelum ini sudah cukup memadai buat mereka berdua. Bercerita mengenai babak menunggang kuda yang dilakukannya ketika pengantin mula-mula tiba di pekarangan khemah tempat majlis berlangsung, Mawi mendedahkan betapa dia berasa kaget apabila latihan hanya dilakukan selama dua hari sebelum ‘persembahan’ bermula.


MAWI dan isteri tercinta memotong kek perkahwinan.

"Jurulatih sendiri berkata, tidak pernah berlaku apabila seseorang penunggang hanya berlatih dua hari sebelum melakukan persembahan. Kiranya ia satu rekod baru jugalah. Saya sendiri kecut perut sewaktu awal-awal tunggangan. Manalah tahu jika kuda pula buat hal pada hari sebenar. Begitu pun kami semua sudah bersedia sekiranya kejadian seperti itu berlaku," ujarnya. Ketika ditanya mengenai majlis yang paling digemari mereka, Ekin berkata, kesemuanya memang menyeronokkan mereka dan mempunyai makna tersendiri. Justeru, tidak timbul majlis mana paling bermakna di hati mereka kerana paling penting bagi Ekin, semuanya berjalan dengan lancar dan sempurna. Diusik dengan pertanyaan apakah mereka ingin mendapatkan anak secepat mungkin setelah bergelar suami isteri, Ekin memberitahu, walaupun tidak merancang, namun dia memang berharap dapat menimang cahaya mata seberapa segera. Dia sendiri sudah pun bersedia untuk bergelar seorang ibu pula. "Jika Tuhan menganugerahkan sepasang anak kembar, pastinya kami lebih seronok," ujar Ekin yang berkebetulan mempunyai saudara kembar, Aen. Tiba-tiba Mawi di sebelahnya mula menghitung, mereka akan mendapat 12 anak dalam masa yang singkat sekiranya sebanyak enam kali Ekin bersalin anak kembar dua. Diminta mengulas kedatangan bekas tunangnya, Ina Naim bersama suami, Mohd Shuhaimi Saad serta bayi comel mereka, Ehmed Hadie Elfardie, 8 bulan, ke majlis berkenaan, Mawi berkata, sememangnya mereka sudah lama merancang untuk mengundang kedua-duanya ke majlis perkahwinan mereka di Kuala Lumpur. "Kami memang merancang untuk menjemput mereka di Kuala Lumpur kerana mereka juga adalah artis. Tiba-tiba keluar pula cerita mereka tidak diundang sewaktu majlis diadakan di Johor. Ina sendiri sempat bertemu saya tadi. Dia dan suami sempat mengucapkan selamat pengantin baru buat kami berdua," kata Mawi. Lensa kamera kelihatan tidak berhenti berkelip tatkala Ina dan suami serta anak sulung mereka menghampiri meja makan utama. Di situ, Ina sempat bertemu, bersalam dan mencium pipi ibu Mawi, Ramlah Sarlan. Mengenai aktiviti seninya selepas tamat bercuti pada 31 Januari, Mawi memberitahu, dia akan terbabit dalam filem terbaru terbitan KRU, Magika. Manakala perbincangan mengenai usaha menyelamatkan kembali filem Aduh Saliha juga sudah pun bermula. Sekali lagi diusik dengan soalan mengapa tidak dia berpasangan saja dengan isterinya dalam filem berkenaan, Mawi tidak memberikan kata yang pasti walaupun dia mengaku tidak akan menghalang kegiatan seni Ekin setelah sah bergelar isteri. Begitupun, pada satu lagi pertanyaan, kedua-duanya berkata mereka pastinya tidak akan menyertai program Sehati Berdansa bagi menghormati imej bertudung wanita itu.

INFO: Perkahwinan Mawi dan Ekin

MAJLIS perkahwinan bertemakan Timur Tengah itu dirancang CD Advertising, manakala hiasan pelamin dan dekorasi disempurnakan oleh Yamin. Jurusolek Tona diberikan tanggungjawab memperindahkan wajah Mawi, manakala Ekin pula disolek Velarie.

PADA Ahad lalu, Mawi dan Ekin menggayakan busana pengantin rekaan Rizalman, Bon Zainal dan Yamin, dengan fabrik disediakan oleh Jakel.

KEK pengantin berbentuk bantal Arab disediakan Blooming Cake, manakala kain rentang oleh Rimbunan Niaga, bot dinaiki mempelai disediakan Mines Cruise manakala pengiring pula terdiri daripada pelajar Universiti Putra Malaysia. Rakaman foto majlis perkahwinan berkenaan pula disediakan Mazlan Photo.

PAKEJ percutian bulan madu Mawi dan Ekin disediakan oleh Pertubuhan Pelancongan Korea.

JIKA Jimmy Shanley dan Kumpulan Cham (Raja Lawak) mengacarakan acara permaidani merah, Farah dan Reza pula mengendalikan program siaran langsung, manakala Dang Suria dan Aktar Sahari mengacarakan majlis perkahwinan. Aznil Nawawi juga turut muncul mengacarakan acara merenjis.

ACARA menepung tawar disempurnakan oleh ibu pengantin lelaki, Ramlah Sarlan; Ketua Kampung Felda Taib Andak, Haji Hanafiah; bapa dan ibu pengantin perempuan, Rahmat Mohamed dan Fatimah Saad; Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tunku Annuar Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah; Toh Puan Bendahara Kedah, Noorsuzana Abdullah; Pengerusi Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; isterinya, Toh Puan Mazni Mohd Nor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; dan isteri, Datin Seri Sharifah Aziah Syed Zainal Abidin.

ARTIS yang muncul menghiburkan mempelai serta tetamu malam itu terdiri daripada Anita Sarawak, Yasin, Idayu, Akma, Amylea, Marsha, Elliza, Ekin, Heliza, Riz, Mila, Zahid, Feliz dan Rabbani.

Monday, January 12, 2009

Mawi-Ekin Pohon Restu Dikurniakan Zuriat


Teks oleh Ellyna AliFoto oleh Farid Nuzli / murai.com

SERI KEMBANGAN, 12 JAN 2009:
Selepas selamat diijabkabulkan dan bersanding buat kali ketiga di Hotel Palace of The Golden Horses, malam tadi, pasangan Mawi dan Ekin terus memanjatkan doa semoga perkahwinan mereka aman bahagia, berkekalan dan dianugerahkan zuriat yang soleh.Biarpun terus dihambat dengan kesibukan tugas sebagai anak seni, Mawi dan Ekin sudah bersedia untuk menjadi ayah dan ibu sesegera yang mungkin tanpa mahu menangguhkan niat yang baik."Kalau timang anak tahun ini pun kami sudah bersedia kerana kami berdua sukakan kanak-kanak. Saya tak kisah anak lelaki atau perempuan malah kalau anak kembar pun lagi bagus," seloroh Mawi kepada murai.com.my.


Celah Ekin pula, "Betul, Ekin juga sudah bersedia kalau ditakdirkan tahun ini Tuhan bagi kami rezeki (zuriat)."Bagi tetamu yang hadir di khemah putih gergasi, Le Marquee yang letaknya di laman tasik hotel itu, majlis resepsi malam tadi memang sungguh memukau. Ibarat seorang pemerintah Arab yang duduk di singgahsana bersama puteri nan jelita, Mawi dan Ekin selamat disandingkan dalam suasana Hikayat 1001 malam.

Acara itu turut terselit drama menarik tatkala Ekin tiba dari arah tasik dan berlabuh di jeti. Sekumpulan lelaki yang berkuda tiba-tiba datang menyerang untuk melarikan Puteri Ekin. Namun tanpa berlengah, Putera Mawi terus ke depan menyelamatkan wanita idaman hatinya dan mereka dibawa menaiki sebuah kereta kuda yang dipacu oleh seekor kuda putih bernama Unicorn, menuju ke singgahsana.


Di perkarangan Le' Marquee, suasana kelihatan seperti taman istana apabila kelihatan 'rakyat jelata' menonjolkan beberapa permainan ala gipsi dan sarkis. Ada yang membawa ular sawa, ada yang menyembur api dari mulut dan melakukan aksi akrobatik. Itulah antara persandingan fantasi yang sudah dirancangkan sejak berbulan-bulan lamanya dengan bantuan wedding planner, CD Advertising. Pengantin mengenakan busana rekaan Rizalman, Bon Zainal dan Yamin. Tidak dinafikan hiasan meja makan dan pelamin dalam marquee itu sungguh indah hasil ilham Yamin.


Gimik Drama Selamatkan Puteri Ekin


Majlis yang bermakna itu dibuka dengan bacaan doa selamat oleh vokalis utama kumpulan Rabbani iaitu Ustaz Asri. Kemudian barulah acara merenjis oleh tetamu diraja dan wakil kenamaan dilangsungkan. Seterusnya, ketika pengantin makan beradab, rakan-rakan artis Akademi Fantasia (AF) dan artis terkenal tampil membuat persembahan iaitu Anita Sarawak, Yassin, Zahid, Felix, Idayu, Akma, Amylea, Marsha, Eliza dan Ekin. Apa yang menarik, ketika Akma, Amylea, Marsha, Idayu dan Ekin menyanyikan lagu Cinta Di Akhir Garisan, tiba-tiba muzik latar terhenti tetapi mereka tetap meneruskan persembahan secara acapella dengan bersahaja dan hebat sekali.Majlis malam tadi diakhiri dengan persembahan fesyen daripada sekumpulan model.


Majlis yang gemilang itu turut ke udara secara langsung menerusi Astro Ria (Saluran 104). Acara itu dihoskan oleh Jimmy Shanley, Dira & Cham sebagai hos karpet merah, Farah & Reza AF (pengacara siaran TV), Dang Suria & Akhtar Sahari (pengacara majlis) serta Hj Aznil Hj Nawawi (pengacara upacara merenjis). Ramai sekali rakan artis hadir antaranya Bekas Pengetua AF - Freddie Fernandez, Ramli MS, Ramli Sarip, Roslan Aziz - serta Marlia Musa, KRU, Ning Baizura, Sazzy Falak, Fauzi Nawawi, Lisdawati, Iqram Dinzly, Fouziah Gous, Roslan Shah, Ifa Raziah, Cat Farish, Corrie Abdullah, Aidit Alfian, Tam Spider, Ajai, Azwan Ali, Akhil Hayy, Linda Onn , Aziz M Osman, Salih Yaacob, Mamat Khalid, Fiz Fairuz serta Ina Naim & suaminya, Suhaimi.


Antara tetamu kehormat yang hadir pula adalah YTM Tunku Bendahara Kedah, Dato' Seri Tunku Annuar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Badlishah & isteri, YAB Toh Puan Bendahara Kedah Noorsuzanna Abdullah; Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Syed Jaafar Albar, serta Pengerusi Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd, Tun Dato' Seri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim & isteri, Toh Puan Datin Seri Mazni Mohd Nor.

Konsep 1001 malam resepsi Mawi, Ekin


PASANGAN bahagia Mawi dan Ekin pada majlis resepsi perkahwinan mereka
di Hotel Palace of Golden Horses, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Acara gimik menaiki bot dan diarak menunggang kuda dari pekarangan hotel menuju ke dewan persandingan menjadi penutup upacara resepsi perkahwinan penyanyi Mawi, 27, dan pasangannya, Ekin, 29.
Majlis resepsi bertemakan 1001 malam itu berlangsung dalam suasana penuh gemilang di Hotel Palace of the Golden Horses di sini semalam dan layak menjadi Wedding of the Year.
Mawi dan Ekin kelihatan berseri-seri dengan menyarungkan sepersalinan busana rona perak rekaan pereka fesyen terkenal tanah air, Rizalman Ibrahim.
Majlis itu ialah upacara ketiga setelah mempelai tersebut sah menjadi pasangan suami isteri tiga minggu lalu.
Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tunku Annuar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Badlishah menjadi tetamu kehormat memulakan upacara menepung tawar.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan persembahan penyanyi Anita Sarawak, Rabbani, Yassin, Zahid AF2, Marsha dan Mila.
Rakan artis yang turut hadir memeriahkan majlis persandingan itu ialah Sazzy Falaq, Stacy, Melissa Saila, Linda Onn, M. Nasir, Ning Baizura dan Ramli Sarip.
Turut hadir ialah bekas tunang Mawi, Nordiana Naim dan suami, Suhaimi Saat bersama anak mereka, Ehmad Hadie Elfardie.

Wednesday, December 24, 2008

Gambar Sekitar Perkahwinan Mawi & Ekin















Mimpi Raja Sehari


Oleh Rudy Imran Shamsudin imran@hmetro.com.my

SETENANG air di kali, begitulah ibaratnya suasana majlis pernikahan penyanyi popular, Asmawi Ani, 27, atau Mawi dengan gadis pilihan hati yang juga pelakon drama, Nora'Asikin (Ekin) Rahmat, 29 yang berlangsung di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, Johor, kelmarin.
Tidak ramai peminat mengerumuni pekarangan masjid. Pada waktu sama 38 pegawai keselamatan Rela diletakkan untuk mengawal lokasi sementara 10 pengawal peribadi ditugaskan menjaga pasangan pengantin baru ini agar acara yang turut disiarkan menerusi Astro Oasis itu dapat dijalankan dengan lancar. Tepat jam 11.45 pagi, pasangan ini selamat dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Rujuk dan Cerai selaku Imam Masjid Sultan Abu Bakar, Datuk Mahat Mohd Said dengan sekali lafaz disaksikan Ustaz Akhil Hayy dan Ustaz Dzulkarnain Hamzah Al-Hafiz mewakili keluarga pengantin lelaki, sementara Datuk Dr Fadhilah Kamsah dan Ustaz Dinie, bagi pihak perempuan. Pada majlis itu, Mawi turut menyerahkan mas kahwin berjumlah RM22.50 dan wang hantaran bernilai RM30,000. Turut diserahkan barangan hantaran sembilan dulang berbalas 11 iaitu senaskhah al-Quran, sepasang sepersalinan, beg, kasut, wangian dan manisan. Bagaimanapun, kegembiraan dirasai pasangan pengantin baru ini tidak bertahan lama apabila timbul kekecohan antara wakil media dari TV3 dan pihak pentadbiran Astro yang memiliki hak eksklusif merakam serta menyiarkan majlis perkahwinan itu. Wartawan stesen televisyen swasta itu tidak dibenarkan berada dalam dewan sidang akhbar yang diadakan sebaik majlis pernikahan selesai. Akibatnya, kejadian terbabit disiarkan menerusi Buletin 1.30, sekali gus menimbulkan kekecohan di kalangan tetamu, peminat mahupun wakil media yang membuat liputan kerana kurang faham dengan situasi yang berlaku. Mawi yang sempat menonton sendiri berita disiarkan menerusi Buletin Utama sebelum majlis persandingannya di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Johor Bahru (MPJB) berlangsung turut terkejut. Ditemui sebaik persandingan selesai dijalankan, kata Mawi mewakili isterinya, dia turut berasa kecewa dan mempersoalkan apakah tujuan wartawan terbabit melaporkan berita sedemikian. "Bayangkan sebaik saja memanjat syukur dan gembira kerana majlis pernikahan dirancang berjalan lancar, tiba-tiba kami dikejutkan dengan panggilan dan sistem pesanan ringkas (SMS) bertanyakan mengenai kekecohan berlaku dan mengapa kami menghalau wartawan. "Saya sendiri terkejut kerana rata-rata semua rakan media dijemput menghadiri majlis ini (pernikahan) tidak pula memberikan komen tidak baik membabitkan layanan disediakan pihak pengurusan saya, Maestro Talent and Management mahupun Astro sendiri.
"Sidang akhbar juga berjalan dengan tenang dan begitu juga ketika majlis akad nikah di dalam masjid. Waktu sama saya turut mengadakan sidang akhbar khas bersama wartawan TV3 terbabit hampir setengah jam.
Apa yang mengecewakan saya, apabila temu bual kami tidak disiarkan sebaliknya cerita wartawan dihalau pula digembar-gemburkan. "Saya sempat juga menyaksikan sedutan berita itu dan jika tidak salah saya pegawai Rela yang bertugas bercakap dengan wakil media itu dengan cara baik. Katanya hanya mereka yang mempunyai pas saja dibenarkan masuk ke dalam dewan. Itupun sebaik sidang akhbar tamat mereka masih berpeluang menemu ramah kami," katanya. Mawi tidak menafikan apabila berita seperti itu disiarkan, ia sedikit sebanyak menganggu emosinya dan Ekin, terutama apabila memikirkan mengenai pandangan pihak luar dan peminat yang tidak berada di lokasi kejadian dan mengetahui perkara sebenar. "Sedikit-sebanyak memang saya kesal apabila berita seperti itu dilaporkan. Pada saya tidak seharusnya ia diperbesarkan. Hendak kata saya tidak menjemput mereka, sebelum majlis berlangsung saya pergi ke ibu pejabat TV3 untuk menghantar kad jemputan majlis persandingan di Felda Taib Andak minggu hadapan. "Apapun, saya sekeluarga akan jadikan ia sebagai pengajaran dan cuba memastikan ia tidak berulang apabila majlis sama diadakan di tempat kelahiran saya di Taib Andak mahupun di Palace of The Golden Horses di Kuala Lumpur pada 11 Januari nanti," katanya. Sebelum itu, pada sidang akhbar majlis pernikahan, penyanyi yang popular dengan lagu Aduh Saliha itu mengaku agak gementar sewaktu majlis akad dijalankan . "Saya juga malu apabila menjadi perhatian terutama apabila jurugambar meminta saya mencium Ekin di pipi dan dahi di upacara membatalkan air sembahyang. "Bayangkan kerana berasa tidak keruan menyebabkan cincin yang sepatutnya disarungkan Ekin tidak dapat dilakukan. Pengapit saya sendiri sampai panik melihatkan keadaan itu sehingga tidak dapat mencari di mana letaknya cincin terbabit," katanya yang kemudian mengadakan sekali lagi upacara menyarung cincin di hadapan teman media. Begitu pun jelas Mawi dalam waktu sama, dia bersyukur dan bangga kerana berjaya mengharungi pelbagai dugaan sehinggalah disatukan kelmarin. "Bagi saya, pengorbanan Ekin pada saya sebelum bernikah sudah terlalu banyak. Dia sering dikecam dan difitnah. Namun, saya percaya apa yang kami lalui sepanjang satu setengah tahun berkawan membuatkan dia lebih kuat dan matang," katanya. Pada majlis itu Mawi turut menyatakan beberapa hari sebelum majlis berlangsung dia sering teringatkan arwah bapanya, Ani Awang sehingga terbawa ke dalam mimpi. "Dalam mimpi itu, kami ada juga bercakap tetapi apa isi kandungan mimpi itu biarlah ia menjadi rahsia saya," katanya. Majlis pernikahan itu berlangsung cukup ringkas seperti apa yang dimahukan Mawi dan Ekin sendiri dengan hanya di hadiri keluarga serta teman rapat termasuk ibu Mawi, Ramlah Sarlan; ibu bapa Ekin, Rahmat Mohammad dan Fatimah Saad. Sebaik melangkah masuk ke dalam Masjid Sultan Abu Bakar pasangan ini nampak tenang, termasuk apabila majlis akad nikah selamat dijalankan. Bagaimanapun, situasi mula berubah apabila Ekin mula menangis sewaktu bertemu dengan ibu bapanya dan memohon restu. Perasaan sebaknya itu tidak boleh ditahan sehingga terbawa-bawa ke dalam dewan sidang akhbar. Menjelaskan keadaan dirinya itu, kata Ekin, dia sedih kerana tidak lagi menjadi tanggungjawab ibu bapanya selepas ini. "Saya sebak apabila ibu berpesan supaya pandai-pandailah menjaga diri dan rumah tangga yang dibina. Apabila berada di rumah mentua anggaplah mereka sebagai ahli keluarga sendiri. "Sebelum ini apa saja perkara yang berlaku kepada diri saya ibulah tempat mengadu. Saya memang paling rapat dengan ibu tetapi selepas ini apabila berpindah ke rumah Mawi di Bangi sudah tentu situasinya berubah. Tanggungjawab juga sudah besar," katanya. Pada majlis itu, Mawi turut mengumumkan, bagi mengelakkan timbul masalah dalam rumah tangga dibina, dia melantik Ekin menjadi pengurusnya, penasihat imej dan pembantu peribadi. Ini bagi membolehkan ke mana saja dia pergi, Ekin akan ikut bersama. Pasangan ini turut merancang untuk memperoleh empat cahaya mata dan jika boleh Mawi mahu anak sulungnya kembar seperti isterinya, sementara mereka belum menetapkan tarikh berbulan madu. Badan Pelancongan Korea sudah berjanji mahu menaja dan pada waktu sama pasangan ini mahu kembali ke Syria bagi mengimbau kenangan ketika Mawi melamar Ekin di sana.

Mana air mata jantan Mawi?




Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDINent_editor@kosmo.com.my

DIARI tahun 2008 lelaki 'botak' paling popular yang disayangi rakyat Malaysia, Mawi, bakal ditutup dengan lakaran yang paling indah. "Selamat tinggal alam bujang, aku kini sudah menjadi suami orang." Mungkin begitulah bunyi suara hati Mawi.
Mengahwini kekasih hati, Ekin setelah pelbagai kerenah tidak bertepi yang berjaya ditepis, disepak dan diterajang, ini adalah 'kemenangan' kepada episod cinta antara dua hati.
Sebaik lafaz akad 'aku terima nikahnya' disahkan oleh saksi-saksi, pagi yang cerah kelmarin bersamaan 22 Zulhijjah menyatukan Mawi dan Ekin sebagai pasangan suami isteri di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bharu, negeri tanah tumpah kelahiran kedua-dua pengantin.
Bahawa jodohnya wanita sejelita Ekin yang pernah menambat hati banyak jejaka termasuk orang istana adalah sesuatu yang tidak pernah disangka oleh anak Felda Taib Andak yang bergelar artis lelaki popular itu.
Segalanya berlangsung dalam suasana tertib dan teratur. Hasil perancangan yang teliti menjadikan majlis itu berlangsung dengan cukup sempurna, bagai perjalanan sebuah drama cinta yang biasa kita tonton di kaca TV.
Lupakan kisah yang sengaja diuar-uarkan kononnya media dihalau, kerana apa yang berlaku sebenarnya hanya krew TV3 yang berhadapan dengan masalah tersebut.
MAWI sempat bercanda pada majlis pernikahannya.
Atas sebab hak eksklusif diberikan kepada stesen TV berbayar Astro dan RTM, maka krew stesen berkenaan dihalang daripada membuat penggambaran acara nikah dan sidang media.
Pun usai dua acara ini, TV3 diberi peluang lebih eksklusif menemu bual pengantin secara bersemuka, justeru masih tidak berpuas hati?
Jadi, fakta kes yang sebenarnya begini: media lain langsung tidak berhadapan dengan masalah pada majlis pernikahan Mawi dan Ekin, kecuali TV3!
Berbalik kepada acara, sesuatu yang cukup menghairankan apabila Mawi dilihat mampu melalui episod hari bahagianya tanpa setitis pun air mata.
Banyak yang menanti 'air mata jantan' Mawi menitis atau sekurang-kurangnya bergenang di tubir mata, tetapi kenyatannya itu tidak berlaku.
Hanya Ekin yang menangis teresak-esak kala membuat ikrar dan janji di depan ibunya, Fatimah Saad sedang Mawi tetap dengan wajah ceria gembira.
Wajah yang sama boleh kita lihat sebelum ini kala majlis pelancaran album atau produk terbaru di mana dia menjadi dutanya.
Benarlah bagai yang dikata, hati Mawi sekeras karang di lautan, tidak lut dengan perasaan.
Suka atau duka, Mawi bijak menyembunyi emosi di sebalik senyuman yang tidak pernah lekang bermain di bibir.
Juga ceria Mawi lain macam ketika di sidang akhbar yang dihadiri puluhan wartawan. Tawanya berdekah-dekah, terkekeh-kekeh sampaikan seluruh sidang dewan turut sama ketawa dek lawak spontan Mawi.
DEBARAN pengantin baru membuatkan Mawi dan Ekin awalnya kelihatan agak gementar di pelamin ketika pertama kali disandingkan malam kelmarin.
Pertama kali mencium Ekin selepas 'sah' bergelar suami di depan orang ramai selepas akad nikah mereka, kata Mawi, dia cukup malu sebelum menyambung sambil diiringi ketawa besar, "Tapi, okey jugalah. Seronok cium isteri."
Cara elak fitnah
Sepertimana statusnya yang sudah berubah kepada suami orang, langkah hidup Mawi juga sudah pastinya akan berbeza daripada sebelumnya.
Dan ini diakui Mawi sendiri apabila memberitahu dia akan sentiasa ditemani Ekin ke mana saja, baik dalam urusan kerja mahupun peribadi selepas ini. Ini juga adalah cara terbaik untuk mengelakkan daripada timbulnya fitnah antara mereka.
"Dia akan jadi pengurus, perunding imej dan macam-macam lagi selepas ini. Untuk elak fitnah kepada kami, elok rasanya kalau saya bawa Ekin ke mana saja saya bergerak," kata Mawi.
Jadi, kalau masih ada yang cemburu atau tidak senang dengan pilihan Mawi ini, terimalah hakikat bahawa Mawi dan Ekin kini tak boleh dipisahkan. Akad dan nikah telah menghalalkan mereka untuk berpergian ke mana saja bersama berdua, bagaikan camar yang terbang berpasangan di udara.
Mawi juga memberitahu bahawa dia sangat menyokong langkah Ekin untuk membuka perniagaan butik pakaian muslimah tidak lama lagi.
Butik itu akan menjadi bisnes pertama pasangan suami isteri itu dalam merencana hidup yang lebih gemilang di depan.
"Ekin akan buka butik untuk pakaian muslimah, saya sokong. Baguslah untuk dia, sebab itu saya suka apa yang dia hendak buat," kata Mawi.
Khabarnya Mawi akan menyumbang modal untuk isterinya memulakan bisnes berkenaan, tetapi bukan sepenuhnya.
BAGI menjaga kerukunan rumah tangga yang baru dibina, Mawi mahu Ekin sentiasa menemaninya ke mana sahaja.
Bak kata Ekin, "Butik tu bukan semua akan guna duit Mawi. Kita kongsi-kongsilah."
Ibu Mawi menetap di Felda
Biarpun anaknya sudah membina banglo mewah di Bangi yang bakal nenjadi sarang cintanya bersama Ekin selepas mereka bergelar suami isteri, ibu Mawi, Ramlah Sarlan bagaimanapun enggan turut sama menetap di sana.
Lebih selesa terus menetap di Felda Taib Andak, tempat di mana Mawi dibesarkan, Ramlah yang kurang baik kesihatannya memberitahu dia tidak berhasrat untuk turut sama 'menumpang kasih' di banglo mewah Mawi yang terletak di Bangi itu.
"Biarlah saya terus menetap di Felda," luah Ramlah ketika ditanya. Bukan tidak sayang Ekin, atau tidak kuasa tinggal dengan menantu sebaliknya ibu tua itu tidak sanggup ditinggal-tinggalkan.
"Buat apa pergi Kuala Lumpur? Mawi sibuk, nanti mak cik kena tinggal seorang diri kat rumah. Baik duduk rumah mak cik saja," katanya yang mengakui sering teringat kepada arwah suaminya, Ani Ahmad menjelang pernikahan Mawi.
Pastinya sebelum menyediakan rumah mewah untuk diri sendiri, sejuk perut Ramlah mengandungkan Mawi apabila si anak telah terlebih dahulu menghadiahkan ruang yang cukup selesa untuk didiami oleh si ibu yang melahirkan.
Walaupun hanya terletak di Felda, rumah yang dulunya kecil sudah diberi gubahan baru oleh Mawi dengan kos beratus ribu ringgit lebih setahun lalu.
Dinamakan Teratak Bonda, kediaman di Felda Taib Andak itu adalah lambang kasih sayang Mawi buat ibu, sebelum membina 'istana cinta' untuk seorang wanita bergelar isteri.
Mawi memang anak yang mengenal untung! Selamat belayar ke alam rumah tangga yang juga tidak kurang pancarobanya.

Tuesday, December 23, 2008

Pernikahan Tepis Segala Cemuhan [ Mawi-Ekin]

Seri Pengantin baru Ekin & Mawi
Oleh KHADIJAH IBRAHIM
PERNIKAHAN Mawi atau Asmawi Ani, 27, dengan Ekin atau Nora‘Ashikin Rahmat, 29, di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, pada pagi Sabtu lalu membuktikan bahawa pasangan tersebut tidak lut pada segala cemuhan.
Sejak Mawi dan Ekin menguar-uarkan percintaan mereka pada 21 Oktober lalu, pasangan tersebut tidak henti-henti dilanda ujian.
Namun, berkat kesabaran dan kepercayaan antara satu sama lain, akhirnya Mawi dan Ekin berjaya disatukan jua oleh Penolong Pendaftar Nikah Johor Bahru, Datuk Mahad Mohd. Said pada pukul 11.40 pagi.
Mawi, yang segak dengan persalinan baju Melayu serba putih dan bersamping songket, nampak gugup ketika melafazkan akad nikah, namun berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan hanya sekali lafaz sahaja.
“Masa bersalam tadi, memang saya rasa semacam bertambah gugup. Tapi alhamdulillah, saya dapat atasinya dengan sekali lafaz,” katanya tersenyum pada sidang media yang diadakan selepas upacara akad nikah.
Jelas Mawi, setiap hari dia sering menghafal ungkapan akad nikah dalam hati dan mungkin disebabkan latihan itu dia berjaya melafazkannya dengan lancar.
Sebaik selesai acara akad nikah, Mawi telah membaca taklik dan melakukan sujud syukur sebelum menyerahkan mas kahwin sebanyak RM22.50 kepada Ekin.
Acara tersebut telah disiarkan secara langsung menerusi Saluran Astro Oasis (106) bermula pukul 10.30 pagi.
Mawi yang sedari awal mengakui sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami, turut memberi wang hantaran sebanyak RM30,000 kepada isteri tercinta.
Apa pun, bagaikan terlepas daripada bebanan yang cukup berat, Mawi nampak begitu ceria dengan menyerlahkan perwatakannya selamba dan lucu sebaik majlis pernikahan selesai.
Malah, senyuman dan gurauan tidak lekang daripada bibirnya terutama pada majlis persandingan yang berlangsung pada sebelah malam di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Majlis resepsi oleh keluarga Ekin itu dihadiri lebih 1,500 tetamu di mana pasangan pengantin memilih persalinan hitam dan putih.
Mawi mengakui ikatan pernikahan itu membuktikan bahawa dia dan Ekin sanggup menghadapi segala cabaran bersama hingga ke akhir hayat.
“Sebelum menjadi suami isteri lagi kami sudah diuji dengan pelbagai dugaan. Ekin banyak berkorban kerana setiap hari ada sahaja cemuhan yang dilontarkan kepada dia.
“Saya tahu walaupun dia bersabar tapi setiap hari dia berendam air mata. Saya mohon doa daripada semua agar rumah tangga kami kekal hingga akhir hayat. Harap lepas ini tiada lagi perkara sebegitu,” katanya yang bakal berbulan madu di Korea.
Menurut Mawi, setakat ini dia belum merancang tarikh sebenar berbulan madu kerana pemergiannya ke Korea kelak ditaja oleh Korean Tourism Organisation (KTO).
Ujarnya, buat masa ini tumpuannya lebih kepada mengurus acara resepsi di Felda Taib Andak pada 28 Disember ini dan Hotel Palace of Golden Horse pada 11 Januari depan.
Selain itu, dia juga akan terbabit dalam satu persembahan pada tahun baru ini.
Mawi yang memberi sembilan dulang hantaran berbalas 11 dulang itu berkata, setakat ini dia juga tidak membuat perancangan keluarga.
“Bagi saya, kalau Tuhan sudah tetapkan rezeki saya dapat anak awal, saya terima. Berapa orang itu, terpulanglah. Kalau sekali keluar dua orang pun bagus juga,” katanya.
Bagi Ekin, dia tidak pernah kesal atau berasa bersalah memilih Mawi sebagai suami biarpun sedar jejaka kelahiran Felda Taib Andak itu menjadi perhatian umum.
Padanya, Mawi adalah pilihan terbaik dan keputusan yang dibuat adalah tepat dan mungkin atas sebab itu juga Ekin dilihat tidak dapat menahan air mata sebaik selamat diijab kabul.
“Air mata tadi adalah air mata kegembiraan dan syukur kerana akhirnya, percintaan Ekin dan Mawi sampai ke destinasi. Ini semua berkat sokongan keluarga.
“Kalau sebelum ini Ekin mampu menepis segala dugaan, sudah pasti mendatang pun Ekin bersedia dan akan mengatasi segala masalah rumah tangga dengan tabah,” katanya.
Ekin yang pernah dituduh memilih Mawi kerana harta berkata, biar apa pandangan orang ramai terhadap dirinya, dia reda kerana apa yang diperkatakan itu adalah tidak benar.
Justeru, setelah memiliki status isteri kepada Mawi, Ekin akan berusaha melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.
“Selepas ini ke mana sahaja Mawi pergi, Ekin akan ikut. Bukan kerana cemburu atau nak kawal tapi sebagai pengurus dan perunding imej Mawi,” katanya yang bakal menetap di Bangi, Selangor.
Selain itu, Ekin juga telah mendapat kebenaran daripada Mawi untuk membuka butik busana Muslim dan mungkin perniagaan itu digabung dengan Mawi World Entertainment.
Ekin yang akan meneruskan kehidupan seperti biasa berkata, dia tidak menolak untuk berlakon jika watak yang ditawar bersesuaian dengan imej dan statusnya.
Sementara itu ibu Ekin, Fatimah Saad berkata, dia berasa gembira kerana anaknya telah selamat bergelar isteri tetapi dalam masa yang sama turut bersedih kerana anak kesayangannya itu akan berpisah dengan keluarga.
“Mula-mula dulu, mak cik tidak percaya bila Ekin beritahu yang dia nak kahwin dengan Mawi. Apa pun mak cik suruh dia kenal hati budi Mawi dulu dan alhamdulillah, akhirnya mereka disatukan.
“Memanglah akan terasa kehilangan Ekin tapi itu sudah lumrah dia perlu ikut suami. Mak cik sentiasa doa agar hubungan mereka kekal hingga akhir hayat,” katanya.
Bagi Rahmat Mohammad, dia tidak bimbang untuk melepaskan Ekin kerana tahu pilihan anaknya itu tepat.
Katanya, biarlah mereka layari rumah tangga sendiri dan jika timbul masalah pandai-pandailah mengatasinya.
“Sekarang ini saya rasa lega kerana mereka sudah rasmi sebagai suami isteri dan jika apa-apa yang berlaku biarlah mereka atasi sendiri,” katanya.
Sementara itu kakak Mawi, Rashidah Ani, berharap adik kesayangannya itu akan tabah menghadapi segala dugaan dalam rumah tangga.

Mawi-Ekin: Astro Jawab TV3

JOHOR BAHRU 21 Dis. - Stesen satelit berbayar, Astro, kesal dengan laporan TV3 yang mendakwa pihaknya tidak memberi kerjasama kepada krew stesen televisyen swasta itu untuk membuat liputan majlis pernikahan Mawi dan Ekin di Masjid Sultan Abu Bakar, semalam.
Ketua Perniagaan Bahagian Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, laporan wartawan itu yang mendakwa dia dihalang membuat liputan majlis pernikahan Mawi adalah tidak berasas.
"Saya difahamkan selepas selesai acara akad nikah yang disiarkan secara langsung menerusi Saluran Oasis (106), wartawan tersebut telah menemu bual Mawi. Macam mana dia boleh mendakwa pihak kami menghalangnya membuat liputan.
"Memang kami sudah rancang untuk memberi kebenaran kepada stesen televisyen lain menemu bual pengantin tetapi hanya selepas siaran langsung. Ini kerana hak penyiaran secara eksklusif untuk majlis tersebut adalah milik Astro," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas persandingan Mawi dan Ekin di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini semalam.
Khairul Anwar berkata, apa yang dikesalkan oleh pihak Astro, rakaman temu bual antara wartawan tersebut dengan Mawi dan Ekin tidak pula disiarkan untuk tontonan umum.
Menurutnya, selain majlis akad nikah, acara di Felda Taib Andak pada 28 Disember ini dan persandingan di Hotel Palace of the Golden Horses pada 11 Januari depan juga adalah hak penyiaran eksklusif Astro.
Bagaimanapun kata Khairul Anwar, stesen televisyen lain boleh membuat liputan selepas siaran langsung.
Jelasnya, memang ada beberapa penerbit program yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pihaknya untuk meminta izin membuat liputan hari bersejarah Mawi.
Kata Khairul Anwar, pihaknya hanya meminta supaya permohonan dilampirkan surat rasmi, namun tiada yang berbuat demikian.
"Kalau ada yang hantar surat rasmi memohon, sudah pasti akan dipertimbangkan kerana kami sentiasa bersikap terbuka. Kami tidak ada niat untuk membalas dendam pada mana-mana pihak. Saya amat kesal dengan apa yang dilaporkan," katanya.
Beliau berkata, laporan yang tidak berasas itu boleh membuatkan orang ramai memandang serong kepada wartawan lain yang ternyata tidak menghadapi masalah semasa bertugas.
Sebelum ini, wartawan dari stesen berkenaan pernah menimbulkan suasana kurang enak sewaktu melaporkan berita pada majlis perkahwinan Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari.
Sementara itu, Mawi yang diminta mengulas tentang kejadian berkenaan berkata, dia tidak tahu menahu akan hal tersebut.
"Saya tidak tahu apa-apa. Saya ditemu bual oleh wartawan berkenaan selepas majlis akad nikah secara tertutup. Saya tahu pun setelah rakan-rakan dan saudara mara hantar SMS tanya kedudukan sebenar.
"Temu bual kami tidak dikeluarkan, berita lain pula yang keluar. Pada saya perkara ini tidak perlu diperbesar-besarkan kerana ia hal kecil.
"Sebelum ini saya memang ada pergi ke Media Prima mengundang rakan-rakan wartawan untuk menghadiri majlis perkahwinan saya dan tidak sangka ini pula berlaku," katanya.
Mawi yang kesal dan sedih dengan apa yang berlaku pada hari pernikahannya berkata, beliau tidak takut kejadian tersebut akan menjejaskan perjalanan kariernya.
Katanya, dia tidak bersalah dalam kejadian tersebut justeru tidak perlu meminta maaf kepada mana-mana pihak.
petikan : Utusan Malaysia / 221208

Sunday, December 21, 2008

Sut Krim, Kasut Emas buat Mawi


Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

BELUM lagi digayakan tuannya, sepasang kasut warna emas bakal dipadan dengan sut rona krim rekaan Lord's Tailor sudah memberi bayangan betapa segaknya nanti, tatkala persalinan ini dipakai Mawi. Sememangnya Mawi insan bertuah. Mana tidaknya, jika bakal pasangan mempelai lain berhabis wang untuk menguruskan majlis perkahwinan mereka, Mawi pula serba-serbi ditaja.

Memastikan penampilan Mawi tampak sempurna, Lord's Tailor menjalinkan kerjasama dengan Lewre yang mereka khas sepatu emas buat Mawi secara eksklusif.

Pengurus Pemasaran Lewre International Sdn Bhd, Diana Wong, ketika dihubungi berkata, kasut berharga RM1399 diperbuat daripada kulit lembu muda berkualiti tinggi.

"Terdapat perbezaan antara kulit lembu muda dengan tua kerana ia lebih lembut dan selesa dipakai.

Lewre memilih warna emas bukan saja untuk memadankannya dengan sut rekaan Lord's Tailor yang mempunyai gabungan warna berkenaan.

"Tetapi juga memberi kelainan serta membangkitkan kesan dramatik apatah lagi ia bakal digayakan penghibur popular di hari bersejarah.

"Kalau ikutkan, pihak Lewre menghantar banyak gambar kasut kepada Lord's Tailor yang bersesuaian untuk digayakan pengantin namun, mereka mendapati warna emas yang paling sesuai. Potongan tajam dan bersinar dipilih kerana Mawi sendiri menyukai kasut berciri begitu.

"Tempoh menyiapkannya cuma memakan masa dua minggu dan diperbuat di Malaysia. Kasut ini tidak boleh didapati di pasaran kerana ia eksklusif untuk Mawi dan pihak Lewre berbesar hati menaja dan menghadiahkan kepadanya," katanya.

Tambah Diana, sebelum ini pihak Lewre pernah menaja sepasang kasut untuk Mawi tetapi ia digunakan bekas juara Akademi Fantasia musim ketiga itu di majlis keramaian.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran dan Jualan Lord's Tailor, Loh Lee Lee, berkata, kasut emas itu akan digayakan Mawi bersama sut gabungan warna krim dan emas sempena upacara memotong kek di majlis persandingan sebelah Ikin yang diadakan di Stadium Tertutup Johor Bharu, pada 20 Disember.

"Apa yang dipertontonkan hari ini hanyalah 80 peratus daripada visual sebenar. Selebihnya kena tunggu majlis persandingan Mawi nanti.

"Untuk sut Mawi, kami menggabungkan dua warna iaitu krim sebagai terasnya manakala emas digunakan untuk aksesori seperti vest dan tali leher supaya ia tampak 'out standing'. Sut mawi diperbuat daripada kain 'wool' asli sementara vest menggunakan sutera Itali.

"Konsepnya yang diketengahkan mewah tetapi 'trendy'. Paling penting sesuai dengan baju yang akan dipakai bakal isteri Mawi, Ikin. Kos pembuatan sut ini berharga RM4,000.

"Berhubung kerjasama dengan Lewre, Lord's Tailor mahu memberi perkhidmatan sempurna kepada pelanggan. Mereka bukan saja boleh menempah baju di sini tetapi juga kasut," katanya.

Saturday, December 20, 2008

Jangan Cepat Melatah

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin & Zaidi Mohamadserima@bharian.com.my, zaidim@bharian.com.my

BUKAN mudah menggabungkan dua personaliti popular ini lantaran masing-masing mempunyai komitmen sendiri. Andai Datuk Siti Nurhaliza kini sibuk dengan statusnya sebagai isteri, Mawi pula semakin sibuk menghitung hari bergelar suami. Malah, ketika mereka disatukan dalam satu fotografi khas sewaktu perasmian cawangan dan wajah terbaru Lord's Tailor di pusat beli-belah Bangsar Shopping Centre (BSC), yang turut diserikan dengan kehadiran pelakon sedang meningkat, Diana Danielle, baru-baru ini. Siti sempat mengusik penyanyi itu berdarah manis kerana esok Mawi bakal bergelar 'Raja Sehari'. Mengenakan busana tajaan butik terkemuka itu, aura dan gaya mereka terserlah dengan pesona yang cukup tersendiri. Elemen populariti sudah lama mendakap kehidupan mereka serta menjadi kegilaan ramai ini mempunyai satu lagi persamaan iaitu tidak dapat lari dan lekang dari kontroversi. Si manis Siti yang sudah lebih sedekad mengharungi asam garam dunia seni, bagaikan sudah lali dengan pelbagai kontroversi yang membabitkan dirinya.

Bagi Raja SMS, Mawi pula, kontroversi adalah sebahagian rencah kehidupan anak seni. Sementara pelakon jelita Diana pula, masih cuba menyesuaikan diri dengan kontroversi yang dianggap baru dalam hidupnya. Selama tiga tahun mempertahankan nama baiknya, baru kini nama Diana menjadi buruan media untuk mendapatkan cerita panas berhubung kejadian yang berlaku antara dia dengan bekas kekasihnya, Shamsul Yusof. Akui Diana, dia memang sangat teruja digandingkan dengan dua nama besar kebanggaan Malaysia ini. Debaran memuncak di hatinya, namun sebagai golongan muda, Dia juga tidak menafikan sering belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman.


Mawi semakin matang

HAMPIR empat tahun bergelar anak seni, banyak yang sudah dilalui oleh bintang yang digilap daripada program realiti Akademi Fantasia musim ketiga ini. Di awal langkahnya sebagai anak seni, dia agak seperti sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya. Namun kini, Mawi semakin matang menangani kontroversi yang mendatang. Selain semakin bijak menjawab soalan media, jejaka berusia 27 tahun itu juga tidak mudah melatah dengan provokasi media. Menurutnya, keputusan untuk berkahwin bukan jalan untuk menutup atau mengelak sebarang kontroversi. Sebaliknya, kata Mawi, berkahwin atau tidak, kontroversi tidak pernah berhenti menyerang seseorang yang bergelar selebriti.


SELEBRITI merasmikan cawangan terbaru Lord's Tailor di Bangsar, baru-baru ini.

"Saya cukup lali dengan kontroversi. Berkahwin bukanlah jalan penyelesaian kepada kontroversi. Saya percaya masih adalah lagi kontroversi yang dikaitkan dengan saya sekali pun apabila sudah berkahwin nanti," katanya yang sedih mengenangkan bapanya Ani Ahmad tidak dapat menyaksikan hari bersejarahnya nanti. Penyanyi yang popular dengan lagu Aduh Saliha itu tidak lupa mengundang bekas tunangnya, Nor Diana Mohd Naim serta suaminya Suhaimi Saad ke majlis resipsinya yang bakal diadakan di Hotel Palace Of The Golden Horses pada 11 Januari depan.

Bagaimanapun kata penyanyi itu, kad undangan untuk majlis di Kuala Lumpur masih belum diedarkan lagi. Dia yang kelihatan segak dengan sut daripada Lord's Tailor berkata, dengan tempoh pernikahannya kira-kira 24 jam lagi, dia menjadi semakin berdebar lebih-lebih lagi apabila ada yang bertanyakan soalan itu kepadanya.

Siti Nurhaliza idola Diana

BERBEZA dengan Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi, Diana Danielle pula kini sedang rancak dengan perancangan untuk meluaskan bakatnya dalam seni suara pula. Gadis berusia 17 tahun sedang mengintai peluang pasaran muzik di Indonesia apabila cubaannya sebagai penyanyi kali ini turut menggunakan khidmat komposer terkemuka dari sana seperti Tompi, Pasha (vokalis Ungu) dan Glen Fredly. Bahkan, Diana juga akan turut memuatkan dua lagu ciptaannya sendiri di dalam albumnya nanti. Dan, pada 22 Disember nanti, Diana memulakan penggambaran filem Kecoh Betul terbitan Sri Saheb Productions di sisi pelawak generasi baru, Nabil. Menyusul selepas Kecoh Betul, dia meneruskan kerjaya lakonannya dengan membintangi filem Magika. Lebih selesa berbicara soal kerjaya, Danielle secara tulus mengaku mahu menamatkan kontroversinya dengan bekas kekasih, Syamsul Yusof. Katanya, dia tidak mahu cerita itu mengganggu perjalanan seninya. "Kehidupan harus diteruskan. Yang berlalu biarlah berlalu. Saya mengakui agak melatah dalam berdepan kontroversi ini. Kini, saya semakin kuat dan mula belajar cara terbaik untuk berdepan dengan apa juga masalah mendatang. "Saya juga kena berhati-hati dalam memberikan kenyataan, apa yang patut di cakap dan sebaliknya. Saya tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. Apa yang terjadi mematangkan diri saya daripada segi mental dan emosi. Selepas ini, saya tidak boleh terlalu mudah memberikan cinta kepada seseorang dan pengalaman lalu mengajar saya erti kehidupan sebenarnya," katanya. Diana berkata Siti Nurhaliza adalah sumber inspirasi kerjaya seninya. Katanya, apa yang mengagumkannya terhadap Siti dan Mawi ialah cara mereka menghadapi pelbagai kontroversi dengan tenang serta tidak emosional. "Datuk Siti menjadi idola saya dan apa yang pernah dialaminya berhubung soal kontroversi perlu dicontohi hinggakan beliau mampu berjuang mempertahankan kerjaya seninya. Saya melihat kontroversi yang dihadapi oleh Datuk Siti dan Mawi cukup hebat dan teruk tetapi mereka masih mampu tersenyum. "Kekuatan mereka memberikan motivasi kepada saya untuk terus tegar dalam dunia seni," katanya penuh makna.

Siti teruja nanti album terbaru

KONTROVERSI kata Siti, adakah lumrah yang perlu dilalui setiap selebriti. Jiwa remaja yang sentiasa bergelora. "Kontroversi adalah satu perjalanan hidup yang perlu dilalui. Apa saja cabaran yang mendatang perlu dilalui sebaiknya. Apabila sesuatu itu berlaku kepada kita, jangan menoleh kebelakangan sebaliknya teruslah memandang ke hadapan," kata Siti. Malah, penyanyi yang sudah lebih dua tahun berumah tangga bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa berkongsi pandangan mengenai alam perkahwinan bersama Mawi yang bakal mendirikan masjid bersama Nora'Ashikin Rahmat atau Ekin, esok. "Perkahwinan satu tanggungjawab besar. Ketika hidup sendiri kita tidak perlu memikirkan orang lain, apabila sudah kahwin kita perlu memikirkan pasangan kita. Namun, saya yakin Mawi bersedia untuk hadapi semua itu. Sebab itulah dia mengambil keputusan berkahwin. "Dunia percintaan dan perkahwinan adalah berbeza. Apabila berkahwin, pernikahan itu bermaksud tanggungjawab untuk masa depan. Kita harus menerima apa juga keadaan pasangan seadanya," kata penyanyi yang bakal muncul dengan album terbarunya yang berkonsepkan tradisional kontemporari pada 27 Disember ini. Beliau yang sudah lebih empat tahun tidak muncul dengan album berkonsep sedemikian, nyata tidak sabar lagi untuk memperkenalkan album itu. Album yang mendapat khidmat komposer ternama seperti M Nasir, Zul Mahat, Khairy Johari Johar, S Atan, Johan Nawawi, Pak Ngan dan ramai lagi itu memuatkan sebanyak 11 buah lagu. Kesibukan dengan kehadiran album terbaru dan keadaan kawasan berhampiran tempat tinggalnya di Bukit Antarabangsa yang baru saja ditimpa bencana tanah runtuh menyebabkan penyanyi itu terpaksa melupakan hasrat untuk bercuti ke Amerika Syarikat selama dua minggu yang dijadualkan sebelum pelancaran albumnya. Bagaimanapun, kata penyanyi itu dia dan keluarga masih merancang untuk bercuti bagaimanapun ia hanya akan dilakukan di pusat peranginan dalam negara saja.

Saturday, December 13, 2008

Mawi undang Ina , Suami


KUALA LUMPUR: Mawi merancang untuk mengundang bekas tunangannya, Nordiana Naim (Ina Naim), bagi meraikan hari bahagianya dengan Nora'Asikin Rahmat, 29, atau Ekin pada 20 Disember ini.Menurut Bintang Paling Popular itu, Ina Naim antara nama yang disenaraikan dalam jemputannya dan kad akan diedarkan tidak lama lagi.“Saya akan mengundang dia, suami dan anak, tetapi di majlis resepsi yang diadakan di Kuala Lumpur (Palace Of Golden Horses) pada 11 Januari 2009 kerana lebih mudah untuk mereka datang. Insya-Allah kad akan diedarkan tidak lama lagi,” katanya.Keikhlasan Mawi itu, jelas menunjukkan dia mahu melenyapkan segala sengketa yang pernah melanda mereka sebelum ini.
Apatah lagi, Ina kini sudah cukup bahagia melayari bahtera rumah tangga yang dibina bersama bekas ahli kumpulan In-Team, Mohd Shuhaimi Saad.
Hasil perkahwinan mereka yang melangkau usia dua tahun itu diserikan lagi dengan kehadiran cahaya mata, Ehmed Hadie Elfardie berusia lapan bulan.Pada temu bual sama, Mawi juga membayangkan destinasi bulan madunya dengan Ekin berkemungkinan di Syria atau Korea.“Syria sebuah negara indah disebabkan itu saya terpanggil untuk ke sana sekali lagi. Kami belum memutuskan destinasi berbulan madu itu.“Ekin pun menyerahkan sepenuhnya kepada saya membuat keputusan. Kalau tidak Syria saya mahu ke Korea. Selain dua negara itu, ada beberapa destinasi lain yang saya fikirkan,” katanya.


petikan ; Harian Metro / 121208

Tuesday, December 02, 2008

Kami Tak Ketuk Duit Mawi - Ekin

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN fadzilah.bahar@utusan.com.my

Semakin hampir dengan hari bahagia, pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap Mawi dan Ekin.DIA tidak pernah bersalah dan tidak pernah menyakiti hati sesiapa. Namun gadis berusia 29 tahun ini sendiri tidak mengerti mengapa tidak sudah-sudah cerita-cerita peribadi mengenai dirinya ditelanjangkan.Apakah salah dan silap dirinya? Dia sudah tidak mampu berfikir dan tidak mahu memikirnya. Tetapi jauh di sudut kamar hatinya dia tahu salahnya hanya satu iaitu dicintai dan menyintai lelaki yang menjadi pujaan hati khalayak seantero Malaysia.Namun janganlah terus terusan menjadikan hidupnya satu permainan. Tidak puas-puaskah mereka di luar sana membuka pekung atau sisi gelap hidupnya.

Satu persatu kisah peribadinya dibongkar, dia masih boleh tersenyum. Diikuti kisah dia mengikis duit kekasih hatinya, turut bertebaran di awangan dia masih mampu bertahan.Tetapi semakin hampir dengan hari bahagianya, kisah keluarganya ditaja oleh Mawi semakin menjadi-jadi. Hinggakan ada pihak yang mendakwa rumah yang baru diduduki oleh keluarga Ekin di Johor Bahru juga merupakan sedekah amal jariah daripada bakal suaminya itu agak mencalar hati wanitanya. Tidak cukup dengan itu pelbagai lagi kisah dusta mengenai keluarga Ekin dijaja merata tempat.

Apakah motif dan tujuan cerita-cerita mengenai kehidupan keluarganya dijaja? Enggan mengambil tahu lebih lanjut hal remeh itu, tetapi pemilik nama sebenar Nora' Ashikin Rahmat ini menjelaskan, keluarganya masih mampu memiliki apa yang ada hari ini. “Keluarga saya tak sengkek dan kami tak ketuk duit Mawi. Malah kami tak pernah meminjam duit Mawi pun. Kami masih mampu menyara keluarga kami,” tutur Ekin dengan lembut menafikan perkara tersebut.Dalam pertemuan itu, Ekin masih boleh tersenyum meskipun riak wajahnya mencerminkan sedikit pengertian dan mengharapkan agar kisah dongeng keluarganya tidak sewenang-wenangnya dijadikan bahan bualan.

Menyambung bicara sambil senyuman yang masih berbaki kata Ekin: “Rumah di Johor Bahru baru siap dan menggunakan duit Ekin, Aein (kembar Ekin) dan abah. “Siapa yang pandai-pandai cakap abah Ekin tak ada pencen. Sedangkan abah Ekin bekerja sebagai operator tentera dahulu dan kini dah bersara serta mempunyai pencen. Duit pencen abah dan duit kami berdua kami kumpul dan bina rumah tersebut.” Akui Ekin, apa yang berlaku ini satu mainan emosi yang memerlukannya tabah, kuat dan memekakkan telinga selain menganggap pihak-pihak yang menyebarkan cerita itu mempunyai niat yang buruk terhadap diri dan keluarganya.

Liku-liku kehidupan
Cerita Ekin, walaupun pelbagai kata nista dan cacian yang tidak putus-putus dilemparkan padanya, ia sedikit pun tidak membuatkan dirinya lelah. Jauh sekali untuk duduk dan menyesal dengan apa yang telah berlaku.Persoalannya kini, apa yang membuatkan dia semakin kuat untuk berdepan dan mengharungi liku-liku kehidupan sebagai isteri kepada jejaka idaman Malaya kelak? “Alhamdulilah, saya berada di tempat yang benar jadi saya tak perlu takut. Saya berdiri di atas kaki sendiri dan bersyukur kerana Allah mengurniakan rezeki yang berlipat ganda kepada saya,” katanya lagi.
Mawi beria-ia
Tika dan saat ini pastinya cinta hati Mawi ini kini sedang sibuk dengan persiapan kahwin mereka. Kata si manis ini lagi: “Persiapan masih berjalan dan Alhamdulillah semua dalam keadaan yang baik. “Mawi yang paling beria-ia dalam persiapan ini dan tak mahu ada kekurangan atau masalah pada tarikh keramat kelak.” Dalam sibuk menyiapkan semuanya masih juga ada kata-kata belakang yang berbisik mengatakan pasangan tersebut tidak mengotakan kata-kata mereka. Jika sebelum ini kedua-duanya bersetuju mahu menyatukan cinta mereka dalam keadaan yang ringkas dan kecil tetapi apa yang dilihat sekarang berbeda dengan apa yang diperkatakan.

Menjawab persoalan itu, Ekin menegaskan: “Bukan kami yang nak buat besar-besaran, tapi orang lain. Kami sendiri tak menyangka perkahwinan kami akan jadi sebesar ini.
“Slot di Astro dan tajaan yang lain semuanya datang dari orang lain bukan kehendak kami. Apabila memikirkan Mawi mempunyai peminat yang ramai tak salah sekiranya kami terima kerana mahu menghargai peminat dia. Kalau ikutkan saya, saya lebih suka buat dalam keadaan sederhana sahaja.”

Tidak terjejas - Mawi
Sementara itu, bagi juara Akademi Fantasia musim ketiga ini, semakin dekat dengan hari penyatuan cintanya semakin banyak gelora yang dialaminya. Ia bagai air yang mengalir tiada henti, namun bagi Mawi semua itu tidak melemahkan atau membuatkan dia tertekan.“Saya anggap semua ini biasa sahaja. Terus-teruskan lagi untuk berkata-kata atau menyebarkan pelbagai cerita. Saya tak akan lemah,” katanya sambil tersenyum penuh makna. Menjelaskan isu itu, lelaki paling popular di Malaysia ini berkata: “Semuanya tak betul, dan saya tak menyara keluarga Ekin pun. Mereka masih mampu untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.”

Sehubungan itu, sebagai lelaki yang bakal memberi perlindungan kepada Ekin, Mawi tidak menafikan, jauh di sudut hati dia simpati melihat Ekin terus-terusan menjadi mangsa keadaan.

Sunday, November 30, 2008

Kaki Kikis ?




Oleh Serimah Mohd Sallehuddin / Bharian / 271108

Saat majlis pernikahan mereka semakin hampir pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap Ekin, buah hati pengarang jantung Bintang Paling Popular, MawiSEHINGGA ke saat ini, tohmahan masih lagi terus menghujani pasangan sensasi Mawi dan Ekin. Seolah-olah ada yang bagaikan kurang senang dengan kebahagiaan yang sedang dikecapi pasangan ini walaupun tinggal kurang sebulan lagi mereka bakal disatukan sebagai pasangan suami isteri yang sah.
Ada riak terkejut di wajah wanita yang dicintai Mawi ini tatkala tohmahan yang kali ini mengaitkan keluarganya diajukan. Kononnya Ekin atau nama sebenarnya Nora’ Ashikin Rahmat, 29, mengikis harta Mawi sehingga bakal suaminya itu membelikan sebuah rumah jenis teres untuk bakal ibu mentuanya dan kereta mewah jenama Alphard untuk bapanya. Dalam nada terkejut, sempat dia menghela nafas panjang sambil mengucapkan kesyukuran kerana dirinya terus dilemparkan pelbagai tuduhan yang tidak berasas. Alhamdulillah teruslah mengata saya: Ekin pasrah kerana baginya semakin banyak orang mengata semakin murah pula rezekinya
EKIN membantu bakal suaminya memilih sut yang sesuai.
“Tak apalah. Alhamdulillah teruslah mengata saya. Lagi banyak orang mengata semakin murah pula rezeki saya. Kasihan mak kita, macam sengkek sangat sampai tak mampu beli rumah sendiri,” kata Ekin yang kecewa kerana kali ini ibu bapanya pula turut dikaitkan. Ekin menafikan sekeras-kerasnya berhubung dakwaan dia dan keluarganya ingin mempergunakan dan mengikis harta Mawi. Kata Ekin menegakkan kebenaran, rumah teres di Taman Impian Mas, Johor Bahru itu dibeli hasil titik peluhnya bersama Aien dan bapanya yang mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Dakwaan Mawi membelikan bapanya kereta mewah jenama Alphard juga kata Ekin adalah tidak benar. Sebaliknya, bapanya hanya menggunakan kereta Myvi, malah bapanya tidak pernah meminjam mahupun menaiki kereta berkenaan.
PEMILIKI Lord's Tailor, Robert Loh dan isteri, Loh Lee memadankan baju yang sesuai untuk Mawi bagi majlis persandingannya.
“Alphard memang ada tetapi itu kereta Mawi. Bapa saya hanya pakai Myvi saja dan dia selesa dengan kereta itu setakat ini. Saya semakin lali dengan tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan pada saya. Sekarang ini kalau orang nak cakap apa saja, saya terima. “Saya tahu orang sukar menerima apa saja yang saya lakukan. Bagi saya, yang penting saya tidak menyakitkan hati mereka dan tidak kacau periuk nasi mereka,” katanya yang bakal membuka butik pakaian Muslimah di bawah syarikat Mawi World Sdn Bhd tidak lama lagi. Pasangan itu ditemui ketika mengedarkan kad perkahwinan di Balai Berita baru-baru ini. Tampil dengan pakaian sedondon warna kuning air lengan panjang, pasangan itu berkata mereka mengedarkan kad perkahwinan dari rona hijau untuk majlis di sebelah pihak pengantin perempuan dan biru gelap di pihak Mawi kepada media cetak dan elektronik serta saudara mara juga sahabat handai bermula minggu ini. Majlis hebat, gah untuk balas jasa peminat BERCERITA mengenai persiapan kahwin pula, pasangan yang memilih Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru untuk diijabkabulkan tanggal 20 Disember nanti berkata, mereka masih lagi sibuk membuat persiapan terakhir. Sebanyak 75 peratus persiapan di rumah keluarga Ekin sudah pun dilakukan sementara di sebelah pihak Mawi pula baru saja mencecah 50 peratus. Walaupun riak wajah penyanyi yang juga Bintang Paling Popular sebanyak tiga kali berturut-turut itu tampak selamba, namun dedah Ketua Pengurusan Artis dan Bakat, Maestro Talent, Norliza Illias, Mawi adalah orang yang paling risau mengenai kelancaran majlis itu nanti. Dari sebesar-besar perkara hinggalah kepada tugas memotong bawang, semuanya dirisaukan jejaka itu. Semuanya kerana memikirkan majlis perkahwinannya hanya diuruskan kakak dan adiknya saja. Bukan tidak kisah kata Liza, tetapi terlalu banyak majlis dilakukan dalam waktu terdekat menyebabkan Mawi sedikit keliru dan pening tetapi sebenarnya jejaka yang berjaya singgah di hati Ekin itu tidak sabar untuk melangkah ke dunia baru nan serba indah itu. Mungkin majlis perkahwinan mereka nanti bakal menjadi Wedding Of The Year lantaran tiga majlis akan diadakan sekali gus dalam tiga konsep berbeza iaitu pada 20 Disember, diikuti 28 Disember dan 11 Januari yang dikhaskan untuk VVIP. Lantaran tiga majlis yang berbeza, ada yang mula melabelkan si Raja SMS ini berhabis-habisan menyambut kehadiran suri hatinya. Perkara yang menjadi persoalan ialah helikopter yang bakal dinaiki dari Johor Bahru hingga ke Felda Taib Andak. Mawi tidak pernah melenting dengan kata-kata orang. Gelaran selebriti menuntutnya untuk mengadakan majlis sedikit gah, bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi ia dilakukan demi peminat juga. “Kami tidak terfikir hendak mengadakan majlis hebat. Hanya yang terlintas di fikiran saya sekadar untuk menghargai orang yang banyak menolong menaikkan kerjaya dan mereka yang banyak bekerjasama dengan saya. Lagipun peminat banyak berkorban untuk saya sepanjang tiga tahun dalam industri ini, jadi apalah salahnya saya pula berkorban untuk mereka. “Helikopter itu sebenarnya langsung tidak termasuk dalam rancangan perkahwinan kami tetapi ia adalah tajaan seorang teman baik. Dia tidak tahu hadiah apa yang ingin diberikan lalu menawarkan khidmat helikopter selama 10 minit dari Johor Bahru ke tempat saya. “Tidak ada apa yang hendak dibanggakan, ini bukanlah kali pertama saya menaiki helikopter di kampung halaman saya. Sebelum ini saya pernah menaiki helikopter untuk menghadiri persembahan mengejut di Kelantan, jadi orang kampung saya sudah tidak hairan lagi,” katanya. Bertuahnya badan apabila bergelar selebriti, ramai pihak yang bermurah hati untuk menaja. Apatah lagi dengan statusnya sebagai penyanyi lelaki nombor satu negara. Selain sahabat yang sudi menaja helikopter, Mawi juga bakal ditaja Lord’s Tailor yang akan menaja sehelai sut untuk digayakan pada majlis memotong pulut kuning di rumah pengantin perempuan nanti. Pengarah Pasaran dan Jualan Lord’s Tailor, Loh Lee Lee berkata, mereka sut buat seorang selebriti lebih menyeronokkan kerana dia bebas bereksplorasi terutama bab warna. Tidak perlu terikat dengan protokol. Katanya, untuk acara memotong pulut kuning nanti, sehelai sut dari rona krim dan keemasan dipilih untuk juara Akademi Fantasia musim ketiga itu. Dia yang pernah beberapa kali menaja untuk Mawi juga bakal menaja sepasang kasut dari rona keemasan untuk dipadankan bersama
sut itu nanti.

Wednesday, November 05, 2008

Tidur Mawi Terganggu



PUTRAJAYA: Berdebar dan resah. Itulah perasaan dialami penyanyi popular, Mawi, 27, dan bakal isterinya, Nora’ ashikin Rahmat atau Ekin selepas mengikuti kursus kahwin di Masjid Putra di sini, semalam.Ini lebih ketara apabila pihak media asyik bertanya persiapan masing-masing menjelang majlis pernikahan mereka pada 20 Disember depan.Apa yang pasti, semakin dekat kedatangan hari mereka disatukan, debaran perasaan pasangan itu sukar dihuraikan.Bagaimanapun, menurut Mawi, dia kini bertambah yakin dan bersedia apabila mengikuti kursus kahwin berkenaan.


Katanya, menghadiri kursus kahwin anjuran Astro Oasis itu banyak membantunya mengingat kembali apa yang pernah dipelajari dulu.


“Segalanya sudah diketahui sejak sekolah rendah. Saya sudah belajar (pengisian program kursus kahwin)...seingat saya pada usia 11 dan 12 tahun.“Saya sudah belajar bab munakahat (kahwin) ini. Jadi, insya-Allah saya tiada masalah daripada aspek keyakinan.“Cuma, boleh dikatakan tidur malam terganggu kerana memikirkan pengisiannya. Namun, apabila sudah mengikutinya rasa seronok pula kerana banyak ilmu mengenai perkahwinan diperoleh,” katanya ketika ditemui selepas kursus itu.Dia tidak menafikan kerisauan menunggu hari pernikahannya kerana sukar membayangkan apa akan berlaku.“Soal nikah bukan perkara mudah,” katanya.Bagi Ekin pula, ceramah Ustazah Zawiah Hassan dalam kursus itu sangat menarik perhatiannya.Katanya, ia menyeronokkan, malah dapat menimba pengalaman baru yang cukup bermakna.“Ustazah Zawiah bijak berceramah. Jadi, tidak membuatkan saya serta peserta lain mengantuk. Keceriaan dibawa amat dirasai hingga tidak sedar masa ceramah sudah tamat. Tahu-tahu saja sudah habis,” katanya.


Ditanya sama ada dia inginkan kursus kahwin yang tertutup, Ekin mengakui kalau ikutkan hati memang dia mahukan sedemikian tanpa rakaman.Tetapi, memikirkan Mawi yang popular dan ramai peminat, dia harus mengikut saja.“Tidak boleh hendak elak supaya tiada rakaman. Saya perlu terima saja kerana Mawi mempunyai ramai peminat yang ingin berkongsi setiap detik kegembiraannya.“Apa yang pasti saya belajar banyak perkara secara terperinci. Bukanlah bermakna saya tidak tahu mengenai pengurusan rumah tangga, tetapi menerusi kursus kahwin ia lebih meliputi persediaan menjadi isteri termasuk cara melayani suami dan bergurau yang betul dengan pasangan,” katanya.Mawi dan Ekin akan diijabkabulkan di sebuah masjid di Johor Bahru pada jam 11 pagi, 20 Disember.

Wednesday, October 29, 2008

Mawi Mahu Siti & Rosa

NAMPAKNYA tinggal lebih kurang dua bulan sahaja lagi, penyanyi lelaki popular, Mawi akan menamatkan zaman bujangnya dengan kekasihnya, Ekin. Apa yang Papa dapat tahu Mawi dan Ekin kini sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan mereka yang dikatakan akan menjadi wedding of the year itu. Jangan ingat Mawi yang sentiasa sibuk itu tiada masa nak luangkan masa untuk memastikan perkahwinannya berjalan lancar.

Lagi satu berita baru yang Papa dapat tahu sewaktu menghadiri rumah terbuka kawan baik Papa hujung minggu lalu, khabarnya juga, majlis persandingan Mawi yang akan diadakan di Hotel Palace of the Golden Horses pada 11 Januari depan akan diadakan dengan cukup meriah dan gilang-gemilang sekali. Selain daripada beberapa nama tokoh ternama yang diundang oleh Mawi, khabarnya juga, Mawi mahukan Datuk Siti Nurhaliza dan penyanyi seberang, Rossa untuk menyanyi pada majlis persandingannya itu nanti.

Lagu apa yang akan dinyanyikan oleh dua orang penyanyi jelita itu masih belum diputuskan lagi.
Tapi Mawi bimbang seandainya Siti tidak dapat hadir pada majlisnya itu nanti kerana seperti yang kita semua sedia maklum, tarikh itu merupakan hari jadi Siti. Seperti mana yang Papa tahu, kalau sekalipun Siti mahu mengadakan majlis sambutan hari jadinya, dia selalu akan menyambutnya sehari sebelum tarikh hari jadinya. Jadi, rasanya, tiada masalah untuk Siti hadir dan menghiburkan tetamu pada majlis Mawi nanti.
petikan / Utusan Malaysia / 291008