I made this widget at MyFlashFetish.com.

Showing posts with label Politik / Ekonomi. Show all posts
Showing posts with label Politik / Ekonomi. Show all posts

Thursday, April 02, 2009

Gandingan Mahathir, Abdullah, Najib simbol kebangkitan UMNO

KUALA LUMPUR 29 Mac - Gandingan dua negarawan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penasihat UMNO pada era kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kelak akan menjadi simbol kepada kebangkitan semula parti dalam membela masyarakat Melayu.

Ahli veteran UMNO, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, nasihat kedua-dua negarawan tersebut akan mengembalikan keyakinan rakyat negara ini terhadap UMNO dan memastikan parti itu terus relevan dalam perjuangan memajukan orang Melayu pada masa depan.

"Hal tersinggung atau perbezaan pendapat atas sesuatu isu dan tindakan tertentu adalah perkara biasa di mana-mana sahaja dan perkara seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

"Apa yang penting sekarang ialah Abdullah dan Dr. Mahathir saling bermaaf-maafan dan melupakan pergeseran sebelum ini kerana masanya sudah tiba untuk kedua-dua tokoh ini mencurahkan pengalaman dan idea demi kemajuan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Sabaruddin Chik berkata, beliau melihat pertemuan Abdullah dan Dr. Mahathir itu sebagai permulaan yang baik ke arah pelantikan kedua-dua tokoh berkenaan sebagai penasihat UMNO yang sememangnya memerlukan nasihat pemimpin terdahulu.

"Namun, adalah lebih baik jika UMNO mempunyai sebuah majlis yang terdiri daripada lebih dua penasihat dan mereka yang menjadi penasihat ini mestilah tidak mempunyai sebarang kepentingan seperti mahu merebut jawatan tertentu," jelasnya.

Seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail mengibaratkan kedua-dua negarawan itu sebagai 'bapa yang menjadi rujukan anak-anak' apabila berhadapan banyak cabaran.

Oleh Amran Ahmad
pengarang@utusan.com.my

Wednesday, January 21, 2009

Barack Obama angkat sumpah Presiden AS


WASHINGTON: Barack Obama yang mencatat sejarah sebagai orang kulit hitam pertama diisytihar Presiden Amerika Syarikat (AS) dalam upacara gilang gemilang di sini pagi tadi, memikul harapan tinggi dunia untuk memulihkan hubungan Washington dengan kebanyakan negara, terutama negara Islam. Obama, 47, anak seorang lelaki dari Kenya dan ibunya, wanita kulit putih dari Kansas, mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-44 di pekarangan bangunan Capitol, disaksikan jutaan manusia yang memenuhi National Mall, dari Capitol Hill ke Tugu Peringatan Lincoln, tempat pejuang hak asasi manusia kulit hitam, Martin Luther King Jr menyampaikan impiannya dalam satu ucapan bersejarah mengenai perpaduan kaum di Amerika pada 1963. Tinjauan pendapat Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) London mendapati krisis kewangan global patut menjadi keutamaan teratas Obama, diikuti pengunduran tentera AS dari Iraq, menangani perubahan cuaca dan merundingkan perdamaian di Asia Barat.


Ketika memberi penghormatan kepada wira hak asasi manusia itu sempena hari jadinya kelmarin, Obama berkata: "Esok kita akan berkumpul di tempat yang sama di mana impian Dr King masih bergema". "Apabila kita berkumpul di sini di Amerika, kita harus sedar bahawa nasib kita adalah berkait rapat di antara satu sama lain. Bila kita berjalan, kita berjalan seiringan. "Tatkala kita maju ke depan bagi menunaikan janji kita kepada negara ini, kita tidak harus lupa pengajaran yang diperoleh daripada (Martin Luther) King - bahawa walaupun impian kita berasingan, ia adalah satu," kata Obama.

Pagi semalam, Obama dan isterinya, Michelle memulakan upacara pelantikan dengan mengunjungi presiden yang akan melepaskan jawatan, George W Bush dan isterinya, Laura Bush di rumah baru mereka di Rumah Putih. Selepas mengangkat sumpah untuk 'memelihara, melindungi dan mempertahankan' perlembagaan AS, Obama menyampaikan ucapan sulungnya sebagai presiden. Orang ramai mengharungi cuaca sejuk di Washington pagi semalam dan berasak-asak untuk menyaksikan pengisytiharan presiden baru mereka sama ada dari bahagian depan kepada sebilangan yang bernasib baik atau dari skrin gergasi bagi ribuan lain. Renita King, 46, terbang dari Hosuton, Texas dengan anak lelakinya berusia enam tahun, Arthur, bagi menyaksikan penghapusan prejudis perkauman yang terpaksa dilalui oleh ibunya yang kini berumur 73 tahun.

"Saya berada di sini untuk ibu saya kerana dulu orang kulit hitam dihina dan dipanggil 'nigger'," katanya. Perang terhadap keganasan adalah sebahagian daripada cabaran yang menanti Obama. Dari Gaza ke Guantanamo, beliau menghadapi dunia yang penuh dengan pergolakan. Selepas upacara mengangkat sumpah, Obama dan Naib Presiden, Joseph Biden, makan tengah hari dengan anggota Kongres, hakim Mahkamah Agung dan barisan Kabinet baru termasuk Setiausaha Negara, Hillary Clinton. - Agensi


petikan : Bharian/210109

Tuesday, December 16, 2008

Petrol, diesel turun 10 sen lagi!!!

KUALA LUMPUR - Kerajaan semalam mengambil keputusan untuk menurunkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter berkuat kuasa hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, harga petrol RON97 akan dikurangkan kepada RM1.80 seliter daripada RM1.90 seliter dan petrol RON92 akan diturunkan kepada RM1.70 seliter daripada RM1.80 seliter.
Harga diesel akan dikurangkan kepada RM1.70 seliter daripada RM1.80 seliter, kata beliau. - Bernama

Bush dibaling kasut

DIAIBKAN... (Gambar besar) Muntadar Al-Zeidi bangun secara tiba-tiba dari tempat duduk bahagian pemberita dengan memegang kasut di tangan kanannya ketika Bush dan Perdana Menteri Iraq, Nuri Al-Maliki mengadakan sidang akhbar bersama di Baghdad, semalam manakala gambar di bawah (dari kiri ke kanan) dia melontar kasut ke arah Bush sambil melaungkan “Ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing! Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq.” Bush mengelak kasut yang dilontar dan berselindung di sebalik rostum ketika Muntadar mencapai satu lagi kasutnya sebelum melontar ke arah Bush sambil diperhatikan oleh Nuri Al-Maliki yang tergamam. – AP

BAGHDAD 15 Dis. – Seorang wartawan Iraq membaling sepasang kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush semasa lawatan perpisahan beliau ke Iraq, semalam.
Insiden itu menonjolkan kebencian mendalam yang terus dirasai di negara ini terhadap Bush yang mengakui perang di Iraq masih belum dimenangi.
Wartawan berkenaan, Muntazer al-Zaidi bangun sewaktu Bush mengadakan sidang akhbar bersama-sama Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Malik seraya menjerit dalam bahasa Arab, “ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing!” lalu membaling kasut yang dipakainya.
“Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq,” jerit Muntazer, wartawan untuk televisyen Al-Baghdadia, sebuah stesen milik Iraq berpangkalan di Kaherah.
petikan; Utusan Malaysia/161212

Wednesday, November 19, 2008

Turun 15 sen lagi

Oleh HELMI MOHD. FOAD / Utusan Msia / 181108

PUTRAJAYA 17 Nov. – Kerajaan hari ini menurunkan lagi harga minyak sebanyak 15 sen berkuat kuasa esok, kali kelima sejak Ogos lalu sejajar dengan penurunan harga bahan api itu di pasaran dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan penurunan itu berkata, petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.
Serentak itu, beliau meminta para peniaga mengambil langkah untuk terus mengurangkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak supaya orang ramai mendapat manfaat sepenuhnya.
‘‘Saya ingin memaklumkan bahawa pihak kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengurangkan lagi harga runcit petrol dan diesel sejajar dengan penurunan harga minyak dunia yang berterusan.
‘‘Ini merupakan penurunan yang kelima sejak Ogos 2008, sebagaimana janji kerajaan untuk menurunkan harga jika ada penurunan dalam pasaran dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Penurunan harga petrol dan diesel itu dibuat ketika harga minyak mentah di pasaran dunia hari ini berlegar pada kadar AS$55.85 (RM195).
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut berharap para pengguna akan terus mengamalkan sikap berhemah dalam penggunaan petrol dan diesel walaupun harga bahan bakar itu telah turun.
‘‘Ini selaras dengan hasrat kita memastikan penggunaan tenaga yang efisien,” katanya.
Harga minyak petrol dan diesel telah mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.
Bagaimanapun, dua bulan kemudian iaitu pada 23 Ogos, kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen menjadikannya RM2.55 seliter, ketika kadar inflasi bagi bulan Ogos meningkat kepada 8.5 peratus, manakala diesel sebanyak lapan sen menjadikannya RM2.50 seliter.
Pada 24 September lalu, kerajaan sekali lagi mengumumkan harga runcit petrol RON97 dan RON92 dikurangkan 10 sen iaitu masing-masing daripada RM2.55 seliter kepada RM2.45 seliter dan RM2.40 seliter kepada RM2.30 seliter.
Pada 14 Oktober pula, kerajaan menurunkan harga runcit petrol sebanyak 15 sen dan 20 sen bagi diesel ketika harga minyak mentah dunia berlegar sekitar AS$77 setong.
Terakhir, kerajaan menurunkan harga minyak sebanyak 15 sen pada hujung bulan lalu, menjadikan harga runcit dua bahan api itu masing-masing pada kadar RM2.15 dan RM2.05 seliter.

Wednesday, November 12, 2008

Paras minimum harga petrol, diesel mungkin ditetapkan

Oleh HASHNAN ABDULLAH / Utusan / 121108
PUTRAJAYA 11 Nov. – Kerajaan tidak menolak kemungkinan menetapkan paras minimum bagi harga runcit petrol dan diesel domestik meskipun harga minyak mentah di pasaran dunia terus menunjukkan trend penurunan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, ia bagi mengelakkan kerajaan terus menanggung jumlah subsidi yang besar sehingga menjejaskan perbelanjaan pembangunan sektor lain. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut bila paras minimum itu akan dilaksanakan. ‘‘Penetapan paras minimum itu terpulang pada mesyuarat Majlis Ekonomi yang diadakan setiap minggu. ‘‘(Jika ada) kerajaan mungkin dapat menjimatkan perbelanjaan subsidi dan seterusnya membolehkan wang tersebut digunakan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebelum menyampaikan anugerah Kecemerlangan Perniagaan Beretika 2008 di sini, hari ini. Pada majlis itu, Bukit Kiara Properties (bagi kategori syarikat besar); Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (syarikat sederhana) dan Pusat Tuisyen Sri Wijaya (syarikat kecil) diumumkan sebagai pemenang utama anugerah tahunan itu.
Menurut Shahrir, jangkaan perbelanjaan bagi pemberian rebat minyak dijangka mencecah RM5 bilion manakala subsidi minyak iaitu 30 sen bagi setiap liter pula dijangka berjumlah RM18 bilion. ‘‘Ia merupakan beban yang besar untuk negara. Sudah sampai masanya untuk kita timbang apa yang baik untuk negara, selain harga minyak yang rendah. ‘‘Harga minyak yang rendah tetapi tidak ada projek pembangunan atau langkah merangsangkan ekonomi, juga tidak baik untuk negara,” katanya.

Ditanya sama ada harga minyak akan berada di paras sekitar RM2 akhir tahun ini, beliau berkata, ia tidak sukar jika dilihat pada harga pasaran minyak mentah dunia sekarang. ‘‘Tetapi rakyat seharusnya terus mengamalkan sikap berhemat dalam perbelanjaan seharian walaupun harga minyak jauh lebih rendah berbanding ketika ia mula dinaikkan Jun lalu. ‘‘Dan ia dijangka akan turun lagi dalam masa terdekat,'' katanya.

Thursday, November 06, 2008

OBAMA Presiden Kulit Hitam Pertama AS

BARACK Obama bersama isteri dan dua anak perempuannya melambai ke arah penyokong semasa perhimpunan raksasa di Grant Park, Chicago, lllinois sejurus selepas memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat malam tadi.– AFP
WASHINGTON 5 Nov. – Barack Obama, hari ini memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), sekali gus mencipta sejarah sebagai Presiden kulit hitam pertama AS dalam tempoh 232 tahun sejak negara itu mencapai kemerdekaan dari Britain.
Obama, 47, yang mewakili Parti Demokrat mengetepikan pencabar kuat daripada Parti Republikan, John McCain dengan membolot 349 undi Badan Perwakilan Pemilih (BPP) di seluruh negara melepasi undi minimum sebanyak 270 undi BPP bagi melayakkan seseorang calon untuk diisytihar menang bagi menduduki White House.


McCain yang bergandingan dengan Gabenor Alaska, Sarah Heath Palin sebagai calon Naib Presiden hanya memperoleh 163 undi BPP. Keputusan pilihan raya di North Carolina (15 undi) dan Missouri (11) kesemuanya melibatkan sebanyak 26 undi BPP masih belum diputuskan. Jika undi BPP di kedua-dua negeri itu diambil kira, jumlah undi BPP yang bakal diterima oleh Obama dan McCain akan turut meningkat, tetapi tidak akan mengubah kemenangan Obama. Senator Joe Biden, Senator dari Delaware akan mengiringi Obama sebagai Naib Presiden.
Kemenangan Obama banyak disumbang oleh pengundi wanita, kulit hitam dan mereka yang berketurunan Hispanik, selain pengundi bebas.
berita penuh di utusan malaysia

Monday, September 01, 2008

Bajet Prihatin

1 - Menjamin kesejahteraan rakyat
2 - Bangun modal insan berkualiti
3 - Perkukuh daya tahan negara
KUALA LUMPUR: Bajet 2009 yang dibentangkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat semalam memanfaatkan semua lapisan masyarakat dengan tumpuan meningkatkan pendapatan boleh guna dan mutu hidup rakyat serta peruntukan besar untuk prasarana terutama pengangkutan awam.
Bertemakan 'Kerajaan Prihatin' dan dirangka sejajar dengan lima teras Misi Nasional, Bajet 2009 dengan peruntukan RM207.9 bilion, 5.1 peratus lebih tinggi berbanding Bajet 2008, menumpukan kepada tiga strategi iaitu menjamin kesejahteraan rakyat, membangunkan modal insan berkualiti dan memperkukuhkan daya tahan negara.
Kecuali kenaikan cukai rokok sebanyak tiga sen sebatang bagi menggalakkan gaya hidup sihat, pelbagai langkah serta insentif yang diumumkan Perdana Menteri dalam bajet itu sebahagian besarnya adalah untuk membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup.
Bagi golongan berpendapatan rendah dan rakyat miskin, Abdullah antara lain mengumumkan kenaikan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bagi bantuan kebajikan kepada RM720 sebulan untuk Semenanjung, RM830 sebulan untuk Sarawak dan RM960 ringgit sebulan untuk Sabah daripada RM400 sekarang.Berikutan itu bilangan penerima bantuan meningkat kepada 110,000 isi rumah daripada 54,000, membabitkan perbelanjaan tambahan RM500 juta.
Sebuah tabung bantuan khas dengan dana RM25 juta juga akan ditubuhkan bagi menyalurkan bantuan kewangan kepada keluarga yang hilang pendapatan secara mengejut seperti akibat kemalangan.
Bagi membantu pesara berpendapatan rendah pula, Abdullah mengumumkan pesara kerajaan yang telah berkhidmat melebihi 25 tahun akan menerima pencen minimum RM720 ringgit sebulan, mulai 1 Januari 2009.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan, isi rumah dengan bil elektrik kurang daripada RM20 ringgit sebulan tidak perlu membayar bil elektrik, berkuat kuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009.
Bagi membantu rakyat golongan berpendapatan sederhana pula, kadar cukai pendapatan individu dikurangkan satu peratus kepada antara 12 peratus dan 27 peratus bermula tahun taksiran 2009.
Rebat cukai pula dinaikkan kepada RM400 seorang bagi pendapatan bercukai di bawah RM35,000, daripada RM350 sekarang, sekali gus menyebabkan 100,000 pembayar cukai dalam golongan berpendapatan sederhana tidak lagi dikenakan cukai.Pendapatan faedah bagi simpanan individu juga dikecualikan cukai bertujuan membantu individu yang bergantung kepada pendapatan daripada simpanan.
Untuk menangani kesan kenaikan harga barangan, duti import beberapa barang makanan seperti mihun, biskut, jus buah-buahan dan jagung manis dalam tin dikecualikan daripada duti import, manakala beberapa barangan pengguna termasuk pengisar makanan, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro serta cerek elektrik, diturunkan sebanyak kepada antara 5.0-30 peratus.
Bajet 2009 itu juga tidak menyaksikan sebarang kenaikan harga barangan kawalan serta cukai perjudian dan arak yang sebelum ini dijangka dinaikkan.Abdullah juga mengumumkan bayaran bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 yang akan dibayar dalam dua bayaran pada September dan Disember.


Syarat pinjaman perumahan kakitangan kerajaan turut ditambah baik termasuk melanjutkan tempoh bayaran balik kepada 30 tahun dan memberikan pinjaman bagi ubahsuai rumah yang tidak dibeli menggunakan pinjaman kerajaan.

Bagi membantu pekerja sektor swasta, majikan yang memberikan elaun perjalanan antara rumah dan tempat kerja kepada pekerja masing-masing dkan diberikan potongan cukai, manakala pekerja yang menerima elaun perjalanan diberikan pengecualian cukai sehingga RM2,400 setahun.

Kerajaan juga akan memberikan pengecualian cukai bagi beberapa manfaat lain yang dinikmati pekerja swasta, termasuk bantuan kadar faedah bagi pinjaman perumahan, kenderaan dan pendidikan, serta bil telefon mudah alih dan internet yang dibayar oleh majikan.

Perdana Menteri bagaimanapun tidak mengumumkan penurunan dalam kadar caruman wajib kepada Kumpulan wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti dijangkakan ramai ahli ekonomi, bertujuan memastikan golongan pekerja mempunyai simpanan mencukupi apabila bersara.

Bagi meningkatkan kecekapan pengangkutan awam, Perdana Menteri mengumumkan RM35 billion akan dibelanjakan bermula tahun depan hingga 2014, termasuk bagi projek meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel sedia ada, membina laluan baru, menambah bilangan bas serta menyediakan prasarana yang berkaitan.Untuk mengurangkan kos operasi pengusaha pengangkutan awam, kerajaan mengurangkan bayaran tol sebanyak 50 peratus bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan, iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam, untuk tempoh dua tahun, bermula 15 September 2008.

Cukai jalan bagi bas dan teksi, termasuk kereta sewa pandu dan limousin juga dikurangkan kepada RM20 ringgit setahun.Bajet 2009 juga menyaksikan pengumuman pelabagi insentif dan langkah lain bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan, meningkatkan mutu pendidikan dan latihan kemahiran, menambah baik prasarana kesihatan serta mengukuhkan daya tahan ekonomi negara.

Abdullah berkata, daripada peruntukan Bajet 2009, RM154.2 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM53.7 bilion untuk pembangunan.Bagi peruntukan pembangunan, RM27.8 bilion akan dibelanjakan untuk sektor ekonomi meliputi pertanian, perindustrian dan infrastruktur, RM17.8 bilion untuk pendidikan, kesihatan dan perumahan, RM4.1 bilion untuk keselamatan, RM2.1 bilion untuk pentadbiran, manakala baki RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Tuesday, August 26, 2008

ANWAR MENANG


PKR kekal di Permatang Pauh BUKIT MERTAJAM: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, kembali mewakili Parlimen Permatang Pauh selepas memenangi pilihan raya kecil kawasan itu, semalam. Anwar memperoleh 31,195 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendapat 15,524 undi. Seorang lagi calon dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Mamat, pula hilang wang deposit selepas memperoleh hanya 92 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya di pusat penjumlahan undi di Dewan Aminuddin Baki, Institut Perguruan Tuanku Bainun, di sini pada jam 10.05 malam tadi. Seramai 47,356 atau 81.01 peratus daripada 58,459 pemilih mengundi pada pilihan raya kecil itu yang diadakan selepas kerusi berkenaan dikosongkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding semula di Permatang Pauh. Anwar menyandang kerusi itu sejak 1982, tetapi tidak bertanding pada pilihan raya umum 1999 berikutan kes liwat dan rasuah yang dihadapinya.

Kerusi itu bagaimanapun dimenangi Wan Azizah pada 1999 dan mengekalkannya pada pilihan raya umum 2004 dan Mac lalu sebelum melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan pada 31 Julai lalu. Pada pilihan raya umum lalu, Wan Azizah menewaskan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,888. Wan Azizah memperoleh 30,338 undi, manakala Pirdaus mendapat 16,950 undi. Peratusan mengundi bagi kawasan Parlimen itu pada pilihan raya umum lalu adalah 81.87 peratus. Keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR): 31,195 undi Datuk Arif Shah Omar Shah (BN): 15,524 undi Hanafi Mamat (Akim): 92 undi Majoriti undi: 15,671 Jumlah pengundi: 58,459 Peratus mengundi: 81.01 Undi rosak: 447 Undi tidak dikembalikan: 98

PETIKAN : BERITA HARIAN / 27/08/08

Thursday, July 17, 2008

DEBAT - Anwar vs Ahmad Shabery

Anwar tidak kemukakan formula mapan turunkan harga minyak

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengemukakan formula menurunkan harga bahan api yang meyakinkan dan mapan pada debat khas mengenai "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak." Walaupun beliau berhujah dengan petah dan menarik hati penonton terutama penyokongnya menerusi retoriknya, formula yang dibentangkan berjaya dipatahkan oleh lawannya Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan. Ahmad Shabery lebih banyak mengemukakan fakta mempertahankan tindakan kerajaan menstruktur semula subsidi minyak berbanding Anwar yang memilih pendekatan populis yang mengambil hati penonton.

Anwar berkata, harga bahan api boleh diturunkan 50 sen seliter sehari selepas sekiranya Pakatan Rakyat memerintah menerusi formula RM5 bilion digunakan bagi menampung penurunan harga minyak. Wang itu dapat diperoleh dengan penjimatan perbelanjaan kerajaan termasuk mengatasi masalah kebocoran dan ketirisan, dan mengurangkan 'standby' kapasiti pengeluaran tenaga daripada 40 peratus kepada 20 peratus oleh pengeluar tenaga bebas (IPP). "Dengan mengurangkan kapasiti itu saja kita telah mendapat RM2 bilion, jadi RM3 bilion lagi diperoleh melalui penjimatan dan mengatasi kebocoran," katanya. Mematahkan hujah-hujah Anwar pada debat anjuran Agendadaily.com di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) malam tadi, Ahmad Shabery berkata cadangan Anwar itu sudah tidak lagi relevan berikutan harga minyak di pasaran dunia sekarang lebih mahal berbanding harga semasa formula itu di warkan-warkan sejak sebelum pilihan raya umum Mac lepas.

Beliau menjelaskan pada masa itu harga bahan api adalah RM1.92 seliter bagi petrol dan RM1.58 seliter diesel. Berikutan harga setong minyak di pasaran dunia mencecah lebih US$130 setong, kerajaan terpaksa menstruktur semula subsidi bahan api, menjadikan harga di pam petrol RM2.70 seliter dan diesel RM2.58 seliter. "Kalau kerajaan mengekalkan harga minyak pada kadar yang lama, ini bermakna subsidi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan ialah sebanyak RM50 bilion. "Ini bermakna banyak program pembangunan, termasuk sekolah, jalan, Felda, soal orang di kampung tidak dapat dijalankan hanya untuk menampung cara hidup yang berterusan yang ada pada hari ini," kata Ahmad Shabery.

Ahmad Shabery berkata kenaikan harga minyak adalah fenomena global yang berlaku di seluruh dunia akibat banyak faktor termasuk perang Iraq, kemungkinan Amerika Syarikat menyerang Iran dan peningkatan permintaan bahan api oleh China serta India. Beliau berkata penyelesaian kepada masalah ini bukan dengan menambah subsidi secara konvensional tetapi memerlukan satu pendekatan baru menerusi penstrukturan subsidi bagi menjamin ia benar-benar disalur dan dinikmati oleh rakyat berpendapatan rendah. "Kalau kita terus bagi subsidi, ada syarikat asing seperti Exxon-Mobil, Shell dan sebagainya yang turut mendapat faedah daripada wang rakyat," katanya. Beliau berkata kebanyakan negara lain turut mengambil pendekatan yang sama seperti Malaysia. Ahmad Shabery yang turut membidas Anwar kerana mendakwa kenaikan harga minyak kerana pengurusan kerajaan yang tidak cekap, berkata malah Finland, Norway dan juga negara yang dilaporkan kurang mempunyai kes rasuah tidak memberikan subsidi minyak kepada rakyatnya. "Mereka telah menunjukkan prestasi ekonomi yang lebih baik dan Malaysia juga harus menuju ke arah itu," katanya.
"Kalau kita mengajar rakyat kita dengan harga yang murah walaupun pada hakikatnya harga minyak antarabangsa adalah tinggi, tahun 2015 (apakah) kita akan menjadi net importer? "Mungkin beberapa tahun lagi kita tidak ada minyak lagi. Apakah subsidi begini akan diteruskan atau pada waktu itu baru hendak naik mendadak serta-merta daripada apa yang ada sekarang?" tanya Ahmad Shabery kepada Anwar. Anwar bagaimanapun mempertikaikan sumber minyak negara akan habis pada 2015 dan mendakwa kemungkinan telaga minyak baru ditemui kerana negara pernah menjangka kehabisan simpanan minyak pada 2005. Kata Anwar lagi Petronas juga giat menjalankan aktiviti mencarigali di luar negara. Ahmad Shabery berkata Malaysia memang negara pengeksport minyak tetapi bukannya pengeluar besar, oleh itu khazanah negara perlu diuruskan dengan cermat bagi kepentingan generasi akan datang. "Daripada keuntungan Petronas itu, sebenarnya yang telah diberi pada kerajaan ialah sebanyak 91 peratus, apa lagi yang kita nak ambil dari Petronas," katanya disambut dengan tepukan penonton.
Ahmad Shabery, yang tidak luntur semangat menghadapi kepetahan Anwar berhujah menambah kata "Ingat Petronas kuat dan maju sekarang ini kerana siapa. Tidakkah kerana kerajaan Umno dan Barisan Nasional. "Kehebatan yang dibuat oleh Petronas selama ini adalah dorongan yang diberikan kerajaan. Kita tidak bebankan Petronas, kita benarkan Petronas untuk menabur kembali (keuntungan)," katanya. Penonton yang terdiri daripada 50 orang daripada Pakatan Rakyat dan 50 daripada pihak kerajaan mengikuti debat itu dengan tertib tanpa membuat sebarang kekecohan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP. Begitu juga dengan ratusan penyokong kedua-dua belah pihak yang memberi sokongan moral di luar dewan. Rata-rata penonton yang ditemui berpuas hati dengan perjalanan debat itu yang mereka sifatkan sebagai menyuburkan amalan demokrasi di negara ini. "Anwar mengambil pendekatan mencuri hati penonton menerusi retorik yang menyentuh emosi penonton tetapi kurang meyakinkan dari segi mengemukakan kaedah sedangkan Ahmad Shabery lebih banyak mengemukakan fakta kukuh dan munasabah," komen seorang penonton yang enggan namanya disebut. Debat kira-kira sejam itu dikendalikan oleh pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Johan Jafaar.
Petikan / BH / 170708

Saturday, July 05, 2008

Bala tarik balik akuan - Ini kerana tuduhannya ke atas Najib tidak benar, tidak tepat

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEENdan S. ANAND KUMAR / Utusan Msia / 05.07.08
P. BALASUBRAMANIAM (kiri) berbual dengan peguamnya, M. Arulampalam di lobi sebuah hotel di Kuala Lumpur selepas menarik balik akuan bersumpahnya, semalam. – Gambar MOHD NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR 4 Julai – Penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam hari ini menarik balik akuan bersumpahnya yang membuat pelbagai tuduhan dahsyat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Peguam yang mewakili Balasubramaniam, M. Arulampalam berkata, anak guamnya berada dalam keadaan tertekan ketika membuat akuan bersumpah awal bertarikh 1 Julai 2008 yang kemudian didedahkan pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), semalam.
“Balasubramaniam kecewa dengan kerajaan dan kini dia telah menyedari kesilapannya itu,’’ kata Arulampalam kepada pemberita selepas mengedarkan akuan bersumpah baru Balasubramaniam di lobi Hotel Prince di sini.
Arulampalam ialah peguam baru penyiasat persendirian itu. Ketika Balasubramaniam muncul di ibu pejabat PKR semalam, dia diwakili peguam Americk Singh Sidhu.
Akuan bersumpah baru bertarikh 4 Julai 2008 itu menafikan akuan bersumpah sebelumnya yang dieksploitasi oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyerang Najib berhubung kes membabitkan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Semua tuduhan dalam akuan bersumpah yang didedahkan semalam adalah tidak tepat dan tidak benar, kata Balasubramaniam menerusi Arulampalam, peguam yang menemaninya pada sidang akhbar pagi ini.
“Dengan ini, saya menarik balik seluruh isi kandungan akuan bersumpah saya yang bertarikh 1 Julai 2008. Saya membuat akuan bersumpah itu dalam keadaan tertekan,” katanya.
Akuan bersumpah baru Balasubramaniam tersebut menyatakan: “Saya ingin menyatakan bahawa tidak pernah pada bila-bila masa (Abdul) Razak (Abdullah) Baginda memberitahu saya yang beliau diperkenalkan kepada Altantuya oleh seorang VIP dan pada bila-bila masa Razak ada memberitahu saya bahawa Datuk Seri Najib telah mengadakan hubungan seks dengan Altantuya dan beliau (Altantuya) sanggup mengadakan hubungan seks luar tabii.”
Akuan bersumpah baru enam halaman itu yang diikrarkan di depan Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat di Kuala Lumpur turut mengandungi penafian penyiasat tersebut berhubung beberapa dakwaan dalam dokumen akuan bersumpah sebelum ini yang diedarkan oleh Balasubramaniam pada sidang akhbar bersama Anwar di Petaling Jaya semalam.
Bagaimanapun, Balasubramaniam dan Arulampalam enggan mengulas lanjut berhubung akuan terbaru itu. Mereka kemudian meninggalkan Hotel Prince selepas memberi penerangan ringkas kepada pemberita.
Dalam akuan bersumpah terbaru itu yang dibuat secara sukarela dan penuh kesedaran, beliau berkata, akuan bersumpah awal yang difailkan pada 1 Julai 2008 dibuat dalam keadaan tertekan.
Akuan bersumpah awal Balasubramaniam yang didedahkan pada sidang akhbar di pejabat PKR semalam disifatkan oleh Timbalan Perdana Menteri sebagai satu pembohongan yang amat dahsyat yang merupakan “rekaan semata-mata, berniat jahat dan berunsur fitnah untuk mencemarkan imejnya.”
Antara tuduhan yang mengandungi fitnah termasuk dakwaan kononnya Najib telah memperkenalkan Altantuya kepada penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan Najib menjalinkan hubungan seks dengan wanita Mongolia itu.
Diupah
Balasubramaniam ialah penyiasat persendirian yang diupah oleh Razak untuk menghalang Altantuya bertemu Razak beberapa hari sebelum wanita Mongolia itu dibunuh pada 2006.
Balasubramaniam turut menarik balik kenyataan bahawa Najib mengarahkan Razak untuk menjaga Altantuya agar wanita itu tidak mengganggunya.
Antara kandungan akuan bersumpah terbaru itu adalah:
- “Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda dan atau Altantuya Shaariibuu ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak, bersama-sama dengan Razak Baginda dan Altantuya Shaaribu telah berjumpa dan bersama-sama makan malam di Paris.”
- “Tidak pernah pada bila-bila masa Altantuya Shaaribuu ada memberitahu saya yang beliau meminta wang sebanyak AS$500,000 sebagai komisen bagi bantuannya dalam urusan pembelian kapal selam di Paris.
- “Tidak pernah pada bila-bila masa pun Razak Baginda dan/atau Altantuya Shaariibuu memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak berjumpa dengan Altantuya Shaaribu di Singapura.”
- “Tidak pernah pada bila-bila masa pun Altantuya Shaariibuu ada memberitahu saya yang beliau mahu saya mengaturkan untuk beliau berjumpa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.”
- “Tidak pernah pada bila-bila masa saya ada memberitahu polis semasa penyiasatan mereka mengenai sebarang perhubungan antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Altantuya Shaariibuu kerana perhubungan itu tidak pernah wujud, pada pengetahuan saya. Oleh yang demikian, kenyataan yang saya tandatangani di hadapan polis sudah selesai.”
- “Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang beliau telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Datuk Seri Najib pada malam beliau ditahan.”
- “Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghantar SMS kepadanya pada hari beliau ditahan yang menyatakan beliau (Najib) akan berjumpa dengan KPN (Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan) pada hari berkenaan dan masalah itu akan diselesaikan dan meminta Razak Baginda supaya terus tenang.”

Wednesday, June 18, 2008

Arab Perlu Kawal Harga Minyak


MEMILIKI kekayaan dan kemewahan menjadi idaman semua manusia. Lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin materialistik sekarang. Pendek kata, ada duit semua jadi. Bagaimanapun, sebagai manusia, kita sentiasa diuji oleh Allah untuk menilai tahap keimanan masing-masing.
Allah berfirman: Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, Maka dia akan berkata: Tuhanku telah memuliakanku. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya Maka dia berkata: Tuhanku menghinakanku. (al-Fajr: 15-16).
Kini, bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia diuji dengan kenaikan harga minyak dan barang makanan lain.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, HARUN OSMAN menemu bual Pengarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Prof. Madya Dr. Muhamad Rahimi Osman bagi mengupas fenomena ini.

MEGA: Mengapakah ahli-ahli Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang majoritinya negara Islam tidak berkuasa menentukan harga bahan mentah itu di peringkat dunia?DR. RAHIMI: Masalah utama negara-negara Islam ialah mereka tidak boleh bersatu. Ini menjadi ‘modal’ kepada negara Barat untuk menyerang Islam. Apabila tidak bersatu, maka mudahlah negara Islam diperkotak-katikkan oleh Barat. Ini bukan sahaja melibatkan aspek ekonomi tetapi hal berkaitan politik, ketenteraan dan sebagainya. Sebab itu al-Quran menyuruh kita bersatu. Jika berpecah kita boleh hilang kekuatan.

Saya teringat kata-kata bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Henry Kessinger: “Kuasailah minyak dan anda kuasai dunia, kuasai makanan dan anda kuasai rakyat.” Falsafah inilah yang menjadi asas kepada Barat. Sebab itulah, serangan yang dilakukan ke atas Iraq walaupun kononnya atas alasan pembinaan senjata berat oleh Iraq tetapi matlamat sebenarnya adalah menguasai telaga-telaga minyaknya.
Memanglah harga minyak ini ditentukan oleh pasaran global tetapi ada peranan kuasa Barat yang menyebabkan ia berlaku. Antaranya ialah krisis di Asia Barat seperti Perang Teluk, krisis Israel dengan Lebanon dan ugutan-ugutan Israel untuk menyerang Iran. Dan kita tahu bahawa di belakang semua ini ialah AS yang menyokong kuat sekutu-sekutunya. Ini selain faktor seperti kegiatan spekulator harga.
Apakah yang menjadi penghalang kepada negara-negara Arab di bawah OPEC untuk bersatu sehingga minyak boleh dijadikan ‘senjata’ dalam dunia moden ini?DR. RAHIMI: Seperti yang disebut tadi, perpecahan negara-negara Arab adalah pokok kepada masalah ini. Malah ada pepatah Arab menyebut, “Seolah-olah sudah sepakat supaya kita tidak akan sepakat.” Kata-kata ini menggambarkan betapa sukarnya orang Arab hendak bersatu.
Mungkin itulah juga hikmahnya, mengapa Rasulullah SAW dihantar kepada masyarakat Arab untuk menyatukan mereka atas dasar Islam. Penyatuan itu berjaya di kalangan kabilah-kabilah Arab. Tanpa berpegang kepada asas Islam sudah tentu sukar bagi kita hendak bersatu.
Saranan bersatu ini dijelaskan menerusi firman Allah: Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, jika tidak nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu...(Al-Anfaal: 46)
Kebanyakan tindakan yang menghalang penyatuan negara Arab ini lebih kepada aspek keduniaan seperti mengekalkan kuasa politik dan ekonomi. Mereka bimbang jika tidak mengikut telunjuk Barat, mereka akan hilang kuasa memerintah di negara masing-masing.
Kita tahu bahawa Allah memberi nikmat kepada Negara-negara Arab ini yang tanahnya kering kontang dengan emas hitam iaitu minyak. Maka sudah sepatutnya, komoditi itu digunakan sebagai ‘senjata’ untuk kebaikan dan manfaat negara Islam seluruh dunia. Namun, hakikat yang berlaku adalah sebaliknya. Inilah yang amat dikesali.

Melihatkan kepada keahlian OPEC, tujuh daripada 11 negaranya adalah negara Islam. Sepatutnya apabila berhadapan dengan isu-isu melibatkan kepentingan Islam, negara Arab boleh gunakan minyak sebagai ‘senjata’ untuk melawan Barat walaupun mereka tidak ada kuasa dari segi ketenteraan dan ekonomi.
Dari satu segi, apabila hasil bumi yang Allah kurniakan itu disalahguna maka kita gagal bangunkan negara-negara Islam. Sebaliknya lebih mengharapkan Barat yang memberi bantuan pada negara Islam yang berkenaan.
Sebelum kekalutan kenaikan harga minyak, kita dibebani kenaikan harga pelbagai barang keperluan termasuk beras. Apakah konsep kemajuan dan pembangunan dalam perspektif Islam?DR. RAHIMI: Islam menekankan kemajuan dan pembangunan tetapi ia mestilah bersepadu. Mesti seimbang antara spiritual dan fizikal. Bukan seperti kemajuan di Barat yang lebih pentingkan fizikal sahaja. Dalam Islam yang lebih penting ialah pembangunan insan dan akhlak.
Umat Islam adalah khalifah di bumi sebagaimana firman Allah: Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi… (al-Baqarah: 30)

Sebagai khalifah di muka bumi kita harus membangunkan alam dan menggunakan sumber-sumbernya dengan optimum untuk kebaikan umat. Bukannya jadi hamba dunia.
Jadi, ciri penting dalam kriteria ini ialah akhlak. Apabila pembangunan tidak disertai pembangunan rohani maka ia akan menjuruskan kepada kehancuran. Ia boleh membawa kepada kerosakan alam sekitar, kenaikan harga barang dan ketidakstabilan politik. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya: Telah berlaku kerosakan di darat dan lautan akibat perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (ar-Rum: 41)

Projek pembangunan mesti mengutamakan kepentingan dharuriat (asas) seperti makanan asasi, pendidikan, infrastruktur seperti jalan raya dan kesihatan. Selepas aspek tersebut dipenuhi barulah beralih kepada kepentingan hajat yang membawa kepada keselesaan hidup. Kemudian barulah mencapai ke tahap kamaliat (kesempurnaan) iaitu barang-barang mewah.

Bagi Malaysia, yang perlu diutamakan ialah pengeluaran makanan asasi iaitu pengeluaran padi. Ini penting supaya tidak bergantung kepada negara asing yang boleh mengeksploitasi kekurangan makanan. Kita berada di landasan yang betul apabila kerajaan memberi tumpuan kepada pertanian untuk menyediakan makanan kepada masyarakat sehingga mencapai tahap sara diri. Ini boleh dicapai melalui penggunaan pelbagai teknologi seperti biotek dan teknologi nano.

Dalam keadaan sekarang, apakah peranan yang boleh dimainkan oleh institusi zakat dalam membantu golongan penerima yang layak?DR. RAHIMI: Islam menyediakan mekanisme pengagihan harta supaya ia tidak berlegar di kalangan orang kaya sahaja. Justeru, institusi zakat mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu selain sebagai ibadat ia juga sebagai dasar fiskal ekonomi bagi bantu golongan yang memerlukan. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, sudah tentu golongan fakir miskin makin tertekan.

Bagi menjamin ia dapat berperanan sedemikian, pengurusan zakat perlu cekap. Ini dapat dicapai melalui jumlah kutipan dan agihan kepada masyarakat.
Cuma isunya ialah bagaimana memperkukuhkan lagi institusi zakat supaya sistem agihannya dapat membantu golongan miskin keluar daripada paras kemiskinan dan akhirnya menjadi golongan pembayar zakat di masa akan datang.

Untuk itu, proses agihan ini tidak boleh terlalu rigid. Sepatutnya jika seseorang itu disahkan layak menerima zakat, berikan sahaja jangan ia terhalang disebabkan mereka tidak di daerah atau negeri lain. Walaupun kita memahami bahawa semuanya perlu melalui prosedur tetapi ia perlu dipermudahkan terutama kepada golongan mualaf. Jangan sampai mereka seperti ‘bola’ ditendang ke sana ke sini untuk mendapatkan bantuan zakat.

Adalah malang jika institusi zakat kita gagal menemui golongan fakir miskin sebaliknya media massa yang lebih berjaya mengesan mereka. Sebagai petugas zakat, mereka perlu mempunyai tanggungjawab bawah menyampaikan bantuan itu adalah amanah Allah. Jika gagal, maknanya kita berdosa.

Dalam sejarah, Rasulullah SAW membelanjakan semua wang zakat yang dikutip. Walaupun ada asnaf amil di situ yang boleh digunakan untuk pentadbiran dan lain-lain, tujuh lagi asnaf yang layak menerima zakat perlu menerima bahagian mereka masing-masing. Jangan hanya kita berbangga dengan jumlah kutipan zakat semata-mata.

Banyak saranan dibuat agar mengamalkan hidup sederhana atau mengubah tabiat hidup akibat kenaikan pelbagai harga barang. Apakah saranan Islam dalam hal ini?DR. RAHIMI: Saranan tersebut memang selari dengan Islam yang menyuruh umatnya bersederhana dalam berbelanja dan berbelanja secara berhemah. Allah berfirman: Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula (kikir), dan adalah perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian. (al-Furqaan: 67)

Dalam masyarakat sekarang, memang berlaku banyak pembaziran sama ada di jabatan kerajaan atau syarikat-syarikat dan individu. Ia boleh dilihat melalui penganjuran pelbagai majlis keraian, program hiburan yang tidak mendatangkan pulangan yang baik kepada negara dan masyarakat. Kita perlu berjimat dan membuat simpanan untuk masa depan. Inilah yang terkandung dalam firman Allah ayat 43 hingga 29 surah Yusuf.

Saranan Islam supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah itu sudah lama lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang. Ia penting untuk memastikan pendapatan kita mencukupi untuk keperluan hidup. Lagipun pembaziran itu adalah saudara syaitan.
petikan : Utusan Malaysia / 17.06.08